Dengar playlist penuh di sini
.
Istilah jiran dari neraka bukanlah sesuatu yang asing dalam perbualan harian masyarakat Malaysia, malah ia kerap menjadi topik hangat di media sosial apabila sesebuah kisah gangguan jiran didedahka, Daripada bunyi bising berlarutan, sampah yang tidak diuruskan, pertelingkahan tempat letak kereta, hinggalah kepada kes lebih serius seperti gangguan berterusan dan ancaman keselamatan, isu ini seakan tidak pernah surut menjadi bahan perbincangan awam.
Salah satu contoh yang mendapat perhatian ramai ialah kes sebuah keluarga yang mendakwa diganggu oleh jiran sendiri sehingga digelar jiran dari neraka, apabila jiran tersebut dipercayai menyimbah air sabun ke arah kereta keluarga tersebut, selain membuang sampah dan menyiram air kotor di hadapan rumah setiap pagi. Menurut keluarga terbabit, kejadian itu bukan berlaku sekali dua, sebaliknya berlarutan sejak beberapa tahun lamanya walaupun laporan polis telah dibuat berkali kali.
Selain kes gangguan sedemikian, isu pembakaran sampah secara sesuka hati turut kerap tular, di mana sesetengah jiran didapati membakar sampah tanpa mengira waktu sehingga menghasilkan asap tebal yang menyesakkan kawasan kejiranan. Apabila ditegur, sebahagian daripada mereka yang membakar sampah tersebut dilaporkan bertindak lebih agresif berbanding memperbaiki tingkah laku, satu situasi yang sering menjadikan hubungan jiran semakin renggang.
Turut menarik perhatian ialah kisah kes tular apabila seorang jiran didakwa memutar belitkan cerita kepada komuniti sekeliling, sehingga membuat laporan polis palsu terhadap jiran baharu atas tuduhan bising, sedangkan tiada apa yang berlaku. Situasi sebegini bukan sahaja mencetuskan tekanan emosi kepada mangsa, malah turut menunjukkan bagaimana konflik jiran boleh berkembang menjadi lebih rumit apabila melibatkan salah faham dan penyalahgunaan saluran aduan rasmi.
Dari segi undang undang, gangguan jiran yang mendatangkan bahaya kepada keselamatan, kesihatan, atau harta benda sebenarnya merupakan satu kesalahan di bawah peruntukan Akta Kerajaan Tempatan 1976. Penduduk yang berhadapan dengan masalah sebegini digalakkan membuat aduan rasmi kepada pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atau majlis perbandaran berkaitan, selain boleh membuat laporan polis atau merujuk kepada pusat mediasi komuniti sekiranya konflik tidak dapat diselesaikan secara baik baik antara kedua pihak.
Pakar hartanah turut menasihatkan agar sebarang konflik jiran diselesaikan melalui saluran yang sah berbanding bertindak sendiri, kerana tindakan mengambil jalan pintas seperti bergaduh secara fizikal hanya akan membawa lebih banyak masalah undang undang kepada kedua belah pihak, selain berisiko menjadikan diri sendiri turut tular sebagai punca masalah, bukan lagi mangsa.
Pada akhirnya, isu jiran dari neraka mencerminkan cabaran sebenar hidup berjiran dalam masyarakat majmuk yang semakin padat, di mana sikap bertimbang rasa, saling menegur secara baik, dan kesediaan menggunakan saluran rasmi apabila konflik tidak dapat diselesaikan sendiri menjadi kunci utama mengekalkan keharmonian sesebuah kawasan kejiranan. So, you alls ada jiran dari neraka tak?

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.