Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Jiwa Kacau? Jom Amalkan Tadabbur, Rasai Keajaibannya!

Ramai yang biasa membaca al-Quran, sama ada selepas solat, pada waktu pagi atau sebelum tidur. Namun membaca dan bertadabbur mempunyai dimensi yang berbeza.

Dalam kehidupan yang semakin sibuk, ramai antara kita mencari pelbagai cara untuk mendapatkan ketenangan. Ada yang memilih untuk bercuti, melakukan aktiviti kegemaran, bersenam atau mencari masa bersendirian bagi merehatkan fikiran.

Semua itu boleh membantu tetapi pernahkah kita terfikir bahawa ada satu amalan yang mungkin selama ini kita pandang terlalu biasa, sedangkan manfaatnya begitu besar untuk jiwa?

Amalan itu ialah tadabbur al-Quran.

Kebanyakan umat Islam sudah biasa membaca al-Quran, sama ada selepas solat, pada waktu pagi atau sebelum tidur. Namun membaca dan bertadabbur mempunyai dimensi yang berbeza.

Tadabbur bukan sekadar membaca ayat dan mengetahui terjemahannya. Ia melibatkan usaha memahami, merenung dan mengambil pengajaran daripada ayat-ayat Allah untuk diterapkan dalam kehidupan.

Bayangkan ketika kita sedang berdepan tekanan hidup, kemudian terbaca ayat tentang kesabaran. Kita berhenti seketika dan mula melihat ujian yang sedang dihadapi daripada sudut yang berbeza.

Ketika hati dipenuhi rasa kecewa, kita membaca ayat tentang rahmat dan keampunan Allah. Sedikit demi sedikit, kita diingatkan bahawa masih ada ruang untuk berharap dan memperbaiki diri.

Apabila membaca ayat tentang memaafkan, mungkin kita mula sedar betapa penatnya menyimpan kemarahan dan dendam terlalu lama.

Inilah antara keindahan tadabbur. Ia mengajak kita berfikir, mengenali emosi sendiri dan menilai semula cara kita bertindak terhadap sesuatu perkara.

Bukan sekadar mahu hati berasa tenang tetapi mahu hati menjadi lebih baik.

Dalam konteks kesihatan mental dan kesejahteraan emosi, amalan membaca serta merenungkan al-Quran boleh menjadi sebahagian daripada rutin kerohanian yang membantu seseorang mencari makna, harapan dan kekuatan ketika menghadapi cabaran hidup.

Namun tadabbur bukan pengganti rawatan profesional bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan mental. Sebaliknya, ia boleh berjalan seiring dengan usaha mendapatkan bantuan yang sewajarnya.

Menariknya, kita tidak perlu menunggu sehingga menjadi orang yang alim atau mempunyai banyak masa untuk mula bertadabbur.

Mulakan dengan beberapa ayat sehari. Baca terjemahan, rujuk tafsir yang dipercayai dan berikan ruang kepada diri untuk merenung maksudnya.

Tanya diri sendiri, apakah pengajaran daripada ayat ini? Adakah ada sikap yang perlu diperbaiki? Adakah sesuatu yang perlu kita ubah dalam cara melayan diri sendiri dan orang sekeliling?

Tidak perlu tergesa-gesa. Biarlah sedikit tetapi difahami dan cuba diamalkan.

Mungkin selama ini kita terlalu sibuk mencari cara untuk memperbaiki kehidupan sehingga terlupa bahawa al-Quran sendiri mengandungi panduan yang begitu luas untuk manusia.

Kita tidak tahu berapa lama lagi usia ini akan dipinjamkan. Jadi, mengapa tidak mula mendekati kalam Allah dengan lebih bersungguh-sungguh?

Jangan tunggu sehingga hati menjadi terlalu penat untuk mula mencari ketenangan. Mungkin sudah tiba masanya kita bukan sekadar membaca al-Quran tetapi belajar menghayati setiap pesanan-Nya.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.