Dengar playlist penuh di sini
.
Dulu sebelum wujudnya telefon pintar dan dunia media sosial yang tak pernah tidur, kita dibesarkan dengan cerita-cerita rakyat yang penuh makna. Bukan sekadar hiburan sebelum tidur tapi sebenarnya “kelas kehidupan” versi paling santai.
Siapa yang boleh lupa kisah Batu Belah Batu Bertangkup? Waktu kecil, kita dengar dengan perasaan seram di mana seorang ibu yang kecewa lalu meminta batu menelannya. Tapi bila dah dewasa, baru kita faham betapa dalam maksudnya. Ia bukan tentang batu semata-mata tapi tentang hati seorang ibu yang terluka. Pengorbanan yang dipandang ringan, akhirnya membawa penyesalan yang tak boleh diundur.

Begitu juga dengan Si Tanggang kisah klasik anak derhaka yang akhirnya disumpah menjadi batu. Dulu mungkin kita anggap cerita ini terlalu dramatik tapi hakikatnya ia satu peringatan yang cukup jelas iaitu jangan sesekali lupa asal-usul, walau setinggi mana kita pergi.

Kemudian ada kisah Bawang Putih Bawang Merah. Cerita ini nampak seperti kisah dongeng biasa tetapi sarat dengan nilai tentang keikhlasan dan kesabaran. Watak Bawang Putih yang sering ditindas namun tetap berbuat baik mengajar kita bahawa kebaikan itu mungkin lambat dibalas tetapi tidak pernah sia-sia.

Kita juga tidak boleh lupakan lagenda Puteri Gunung Ledang. Kisah cinta yang mustahil dipenuhi dengan syarat yang luar biasa. Di sebalik kisah ini, terselit satu pengajaran tentang harga diri dan kebijaksanaan. Tidak semua keinginan perlu dipenuhi dan tidak semua cinta perlu dimiliki jika ia melibatkan pengorbanan yang melampaui batas.

Dan bila sebut cerita rakyat, pasti teringat kisah bijak si kecil, Sang Kancil. Dengan akalnya yang licik, Sang Kancil berjaya melepaskan diri daripada bahaya berkali-kali. Dari sini, kita belajar bahawa kepintaran dan kebijaksanaan lebih penting daripada kekuatan semata-mata.

Menariknya, semua cerita ini mempunyai satu persamaan. Pengajaran yang sangat dekat dengan kehidupan kita hari ini. Bezanya, dulu kita belajar melalui cerita, sekarang kita lebih banyak belajar melalui pengalaman… yang kadang-kadang lebih menyakitkan.
Dalam dunia moden yang serba pantas ini, kita mungkin rasa cerita-cerita lama sudah tidak relevan. Tapi sebenarnya, nilai yang dibawa masih sama. Hormat ibu bapa, jangan sombong, sabar dalam kesusahan dan gunakan akal sebelum bertindak.
Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti seketika daripada kesibukan harian dan mengingati semula cerita-cerita ini. Bukan sekadar untuk nostalgia tetapi sebagai cermin untuk melihat diri sendiri.
Kadang-kadang, jawapan kepada masalah hidup kita hari ini… sebenarnya sudah lama diceritakan kepada kita, cuma kita yang terlupa untuk mendengarnya semula.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.