Dengar playlist penuh di sini
.
Bila seseorang kehilangan pasangan yang sudah bersama 30, 40, malah 50 tahun, ramai yang sangka warga emas tu akan “reda” dan terus hidup sendirian sampai akhir hayat. Tapi realitinya, ramai antara mereka masih rindukan seseorang untuk berbual waktu pagi, seseorang untuk kongsi ubat mana perlu dimakan, seseorang untuk sekadar duduk sebelah di ruang tamu. Dan bila mereka mula fikir untuk cari teman hidup baru atau kahwin lain. Reaksi anak-anak dan masyarakat selalunya jauh lebih rumit daripada yang mereka bayangkan.”Tua-tua pon sibuk nak kahwin lagi”.
Dari segi perubatan, kesunyian selepas kehilangan pasangan bukan sekadar isu emosi. Kajian dalam bidang geriatrik mendapati warga emas yang kehilangan pasangan mempunyai risiko kematian 40 peratus lebih tinggi dalam tempoh enam bulan pertama berbanding mereka yang masih berpasangan, fenomena ini dikenali sebagai “broken heart syndrome”. Ia bukan metafora semata-mata,tubuh badan turut bertindak balas secara fizikal terhadap kehilangan, dengan kesunyian kronik meningkatkan risiko tekanan darah tinggi, serangan jantung, dan strok.
Ambil contoh corak yang sering diceritakan dalam kalangan komuniti warga emas , seorang pakcik, katakan usianya 68, kehilangan isteri selepas 42 tahun berkahwin. Selama beberapa bulan pertama, dia langsung tak sanggup makan sendirian di meja yang sama, dan anak-anak terpaksa bergilir-gilir menginap di rumahnya. Tapi hampir dua tahun kemudian, dia mula rapat dengan seorang balu di surau kawasan,mula-mula sekadar berbual selepas solat berjemaah, kemudian sama-sama uruskan program kariah. Bila dia beritahu anak-anaknya yang dia nak kahwin semula, respons pertama bukan restu, tapi persoalan, “Ayah dah lupa arwah mak ke?” Corak sebegini di mana keinginan untuk kahwin lain disalahtafsir sebagai “melupakan” pasangan yang telah tiada adalah salah satu cabaran paling biasa dihadapi warga emas yang cuba bina semula kehidupan mereka.
Sebenarnya, ramai kaunselor dan pakar geriatrik menegaskan sebaliknya, penyesuaian selepas kehilangan bukan bermakna melupakan, tetapi meneruskan hidup dengan cara yang menghormati kenangan pasangan sambil membina makna yang baharu. Sesetengah warga emas memilih untuk aktif dalam persatuan warga emas (PAWE) atau mengajar mengaji di surau sebagai jalan mencari tujuan baru. Yang lain pula, selepas tempoh berduka yang mencukupi, memilih untuk cari teman hidup, sama ada dalam bentuk pernikahan semula, atau sekadar hubungan “companionship” yang lebih santai tanpa niat mendirikan rumah tangga rasmi.
Satu perkara praktikal yang sering timbul dalam perbincangan keluarga ialah soal pencen. Ramai tak sedar bahawa dahulu, balu yang berkahwin semula akan kehilangan hak menerima pencen terbitan arwah suami, sedangkan duda yang berkahwin semula terus menikmati hak tersebut, satu ketidakadilan yang lama diperjuangkan oleh pihak berkepentingan wanita. Perkara ini penting untuk difahami oleh mana-mana keluarga yang sedang berbincang tentang kemungkinan ibu atau bapa mereka berkahwin semula, supaya keputusan dibuat dengan maklumat yang lengkap, bukan sekadar emosi.
Dari sudut Islam, tiada halangan bagi balu atau duda untuk berkahwin semula selepas tempoh iddah (bagi wanita) , malah ia digalakkan sebagai jalan untuk mengelak kesunyian dan menjaga maruah diri. Yang penting ialah niat yang baik dan proses yang telus, terutamanya melibatkan anak-anak daripada perkahwinan terdahulu.
Kalau ada ahli keluarga yang sedang melalui fasa ini, sama ada baru kehilangan pasangan, atau sedang fikir untuk cari teman hidup baru di usia emas, perkara yang paling mereka perlukan bukan penghakiman, tetapi ruang untuk didengari.
Kalau anak-anak tak nak membantu atau sudi mendengar, kaunseling kesedihan tersedia di klinik kerajaan dengan kos serendah RM1 hingga RM5, dan Talian Kasih di 15999 boleh dihubungi bila-bila masa untuk sokongan segera. Kebahagiaan di usia emas bukan sesuatu yang perlu diminta maaf, ia hak setiap insan, pada usia berapa sekalipun.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.