Dengar playlist penuh di sini
.

Pernah tak sejak kebelakangan ni, bila nak baca WhatsApp, tangan automatik menolak telefon semakin jauh?
Mula-mula pegang biasa.
Tak nampak.
Jauhkan sikit.
Masih kabur.
Jauh lagi.
“Ha… baru nampak.”
Lepas tu datang pula bab tulisan kecil. Nak baca menu restoran, kena cari tempat yang terang. Nak tengok label ubat atau bahan makanan, mata mula mengecil. Nak baca mesej panjang, jari pula sibuk tekan zoom.
Yang paling kelakar, kita kadang-kadang salahkan telefon.
“Font dia kecik sangatlah.”
Padahal orang sebelah boleh baca elok-elok.
Sebenarnya, perubahan macam ini memang biasa mula disedari apabila seseorang memasuki usia 40-an.
Mata sudah mula susah fokus pada benda dekat.
Keadaan ini dikenali sebagai presbiopia iaitu perubahan semula jadi pada keupayaan mata untuk memfokuskan objek dekat apabila usia meningkat.
Dalam mata kita ada kanta yang membantu memfokuskan imej. Ketika masih muda, kanta ini lebih fleksibel dan boleh berubah bentuk dengan mudah apabila kita melihat objek pada jarak berbeza.
Apabila usia bertambah, kanta mata menjadi semakin kurang fleksibel.
Kesannya?
Mata mula mengambil masa atau memerlukan bantuan untuk mendapatkan fokus apabila melihat sesuatu yang dekat.
Sebab itu tulisan yang dulu boleh dibaca sambil telefon melekat dekat muka, tiba-tiba nampak lebih jelas apabila telefon dijauhkan.
Cahaya pula mula jadi “penting” sangat.
Pernah rasa boleh baca dengan elok di luar rumah tetapi bila masuk restoran yang agak malap, terus rasa macam tulisan menu tu sengaja dibuat untuk menguji kesabaran?
Apabila usia meningkat, mata juga boleh menjadi lebih bergantung kepada pencahayaan yang baik untuk melihat benda dekat dengan selesa.
Jadi jangan pelik kalau dulu boleh baca buku sambil lampu samar-samar, sekarang kena cari tempat paling cerah dalam rumah.
Bila perlu periksa mata?
Kalau perubahan berlaku secara perlahan-lahan dan hanya menyebabkan kita semakin susah melihat benda dekat, ia boleh menjadi sebahagian daripada perubahan normal berkaitan usia.
Tetapi jangan terus anggap semua masalah penglihatan disebabkan umur.
Kalau penglihatan tiba-tiba kabur, berlaku pada sebelah mata, disertai sakit mata, kilatan cahaya, banyak bintik terapung atau kehilangan penglihatan, pemeriksaan mata perlu dilakukan dengan segera.
Dan kalau sekarang anda sudah ada satu tabiat baru iait telefon makin jauh, font makin besar, lampu makin terang … mungkin bukan telefon yang bermasalah.
Mungkin mata cuma sedang memberi ‘hint’ bahawa kita sudah masuk satu fasa baru dalam hidup.
Selamat datang ke usia 40-an. Mata pun mula minta layanan VIP.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.