Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengapasaja_master

Kenapa Lelaki 50-an Tiba-Tiba Nak Jaga Penampilan?

Sebenarnya, lelaki yang semakin berusia menjaga penampilan tidak semestinya sedang cuba memikat wanita lain.

Kalau seorang lelaki yang sudah masuk 50-an tiba-tiba mula rajin bersenam, beli baju baru, pakai minyak wangi sebelum keluar rumah dan mula tengok cermin lebih lama daripada biasa, mesti ada yang mula buat andaian.

“Eh, dia ni dah ada orang lain ke?”

Biasalah. Bila perubahan berlaku secara tiba-tiba, terutama pada lelaki yang sebelum ini selamba keluar dengan T-shirt lama dan selipar, memang mudah untuk orang terdekat mula curiga. Tetapi sebenarnya, lelaki yang semakin berusia menjaga penampilan tidak semestinya sedang cuba memikat wanita lain.

Salah satu sebabnya ialah kesedaran tentang kesihatan dan usia. Apabila masuk 40-an dan 50-an, seseorang mula lebih sedar bahawa badan sudah tidak sama seperti ketika muda. Berat badan lebih mudah naik, otot mula berkurang dan tenaga mungkin tidak seperti dahulu. Sebab itu ada lelaki yang mula bersenam, mengawal makanan dan lebih mengambil berat tentang penampilan.

Ada juga yang mengalami satu fasa di mana mereka mahu rasa yakin semula dengan diri sendiri. Selepas bertahun-tahun bekerja, membesarkan anak dan mengurus keluarga, mereka mungkin baru mempunyai masa untuk memberi perhatian kepada diri sendiri. Beli kasut baru, tukar gaya rambut atau pakai minyak wangi mungkin bukan untuk sesiapa pun. Mereka cuma mahu rasa lebih kemas dan lebih yakin apabila keluar rumah.

Dan jangan lupa faktor psikologi. Penampilan yang lebih baik boleh membuat seseorang rasa lebih positif terhadap dirinya. Bila kita rasa kemas, sihat dan yakin, cara kita membawa diri pun boleh berubah. Lelaki 50-an mungkin bukan sedang mencari perempuan lain. Dia mungkin sedang cuba mencari kembali versi dirinya yang sudah lama hilang kerana terlalu sibuk dengan kehidupan.

Tetapi dalam sesetengah keadaan, perubahan mendadak memang boleh datang bersama perubahan sosial yang lain. Kalau tiba-tiba terlalu menjaga telefon, kerap keluar tanpa penjelasan, menyembunyikan aktiviti tertentu atau menjadi sangat berahsia, barulah pasangan mungkin ada sebab untuk berbincang dengan lebih serius. Namun satu perubahan seperti mula memakai minyak wangi sahaja tidak cukup untuk menuduh seseorang curang.

Sebenarnya, isteri pun boleh memainkan peranan. Kalau suami mula menjaga penampilan, jangan terus sindir, “Nak jumpa siapa tu?” Kadang-kadang lebih baik puji. “Eh, handsome pula hari ni.”

Mungkin benda kecil macam itu yang membuatkan seorang lelaki rasa dihargai oleh orang yang paling dia mahu hargai.

Umur 50-an bukan bermaksud seseorang perlu berhenti menjaga diri. Kalau masih mahu nampak kemas, sihat dan segak, biarkanlah. Malah bagus kalau perubahan itu membuatkan dia lebih aktif dan yakin.

Cuma kalau tiba-tiba dia pakai minyak wangi sampai satu rumah bau, rambut disikat 17 kali dan telefon pula tak boleh disentuh…Itu mungkin cerita lain.

Video gif. A man with a long white beard and vintage aviator glasses hold his palm to his chest while saying, "I'm in my prime."

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.