Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengretro_master

Kenapa Raya Tak Semeriah Dulu, Kenapa Raya Makin Sepi?

Seorang demi seorang sepupu menyambung belajar jauh, bekerja di negeri lain, berkahwin dan beraya di rumah mentua.

Dulu, raya terasa seperti pesta yang tak pernah habis.

Rumah atuk dan nenek jadi pusat dunia. Seawal malam raya lagi, ruang tamu sudah penuh dengan suara. Sepupu-sepupu tidur berderet atas toto nipis, berbisik sampai lewat malam. Ada yang ketawa kuat sampai kena marah tapi esoknya ulang lagi. Bau rendang dan lemang dari dapur seolah-olah jadi “jam loceng” paling indah setiap 1 Syawal.

Pagi raya pula suasananya kelam-kabut yang menggembirakan. Berebut bilik air, cari songkok yang hilang, tudung yang tak jumpa pin. Bergambar beramai-ramai walaupun ada yang merajuk sebab kena berdiri belakang. Sesi bermaaf-maafan yang kadang bertukar jadi tangisan kecil sebelum semuanya kembali ceria kerana sibuk kira duit raya.

Waktu itu, kita tak pernah terfikir semua itu akan berubah.

Namun masa berjalan tanpa kita sedar.

Seorang demi seorang sepupu menyambung belajar jauh. Kemudian bekerja di negeri lain. Ada yang berkahwin dan beraya di rumah mentua. Ada yang sudah punya keluarga sendiri. Ada pula yang hanya mampu menghantar ucapan melalui WhatsApp kerana kekangan kerja.

Rumah yang dulu riuh perlahan-lahan menjadi tenang.

Toto yang dulu penuh kini hanya terbentang untuk dua tiga orang. Meja makan yang pernah sesak dengan suara dan gelak ketawa kini lebih teratur tetapi terasa kosong. Televisyen dipasang bukan untuk ditonton sangat, cuma supaya rumah tidak terlalu sunyi.

Dan yang paling terasa… bila ada kerusi yang tidak lagi berpenghuni.

Atuk yang dulu mengetuai doa sudah tiada. Nenek yang selalu menyuruh tambah lauk juga sudah pergi. Kita masih menyambut Raya tetapi tanpa mereka, suasana itu tidak lagi sama. Ada ruang dalam hati yang terasa lapang, namun sebenarnya kosong.

Ironinya, bukan kerana kasih sayang semakin kurang. Cuma kita sudah dewasa.

Komitmen kerja, pasangan, anak-anak dan tanggungjawab hidup menjadikan masa semakin terbatas. Kita pulang dengan jadual yang padat. Ada rumah mentua yang perlu diziarahi, ada perjalanan yang perlu disingkatkan. Kadang-kadang baru sehari sudah perlu kembali bekerja.

Dan tanpa sedar, kita sendiri kini menjadi golongan dewasa yang suatu ketika dahulu kita lihat sebagai “abang-abang” dan “kakak-kakak”.

Anak-anak kecil hari ini mungkin sedang mencipta kenangan yang sama seperti kita dahulu.. berlari di halaman, bergaduh kecil kerana mercun, ketawa tanpa memikirkan apa-apa. Mungkin suatu hari nanti, mereka juga akan berkata, “Raya dulu lagi meriah.”

Hakikatnya, Raya tidak pernah benar-benar berubah. Yang berubah ialah fasa hidup kita.

Mungkin kemeriahan itu tidak lagi datang daripada jumlah sepupu yang tidur berderet. Mungkin ia hadir dalam bentuk perbualan yang lebih matang, pelukan yang lebih lama atau doa yang lebih dalam maknanya.

Raya makin sunyi bila kita dewasa, ya.

Tetapi selagi masih ada yang pulang, selagi masih ada salam yang dihulur dan tangan yang disambut, selagi itu Raya tetap hidup.

Cuma nadanya sahaja yang berubah.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.