Dengar playlist penuh di sini
.

Pernah tak baru je keluar tandas, lima minit kemudian rasa nak masuk tandas lagi? Bila kencing pula, terasa pedih atau berdenyut macam ada sesuatu yang tak kena.
Ramai terus cakap, “Alamak, kencing kotor!”
Tapi sebenarnya, apa yang orang panggil “kencing kotor” itu selalunya merujuk kepada jangkitan saluran kencing atau urinary tract infection (UTI). Ia boleh berlaku apabila bakteria masuk ke saluran kencing dan menyebabkan jangkitan, terutama pada pundi kencing.
Asyik rasa nak kencing tapi keluar sikit?
Antara tanda yang biasa berlaku ialah rasa pedih atau terbakar ketika kencing, kerap rasa nak kencing walaupun air kencing keluar sedikit, rasa macam belum puas selepas kencing dan sakit atau tidak selesa di bahagian bawah perut.
Air kencing juga mungkin kelihatan keruh, berbau lebih kuat daripada biasa atau mengandungi darah.
Jadi kalau tiba-tiba rasa, “Kenapa hari ni aku ulang-alik tandas macam ni?” jangan terus anggap sebab minum banyak air.
Tapi air kencing berbau kuat semestinya kencing kotor?
Tak semestinya.
Air kencing yang gelap atau berbau kuat, terutama jika itu satu-satunya perubahan yang berlaku, boleh juga berkait dengan kurang minum air. Sebab itu, kita tak boleh menentukan seseorang ada UTI hanya berdasarkan bau atau rupa air kencing semata-mata.
Dan satu lagi perkara penting, simptom yang sama boleh berlaku disebabkan masalah lain juga. Jadi kalau rasa pedih atau kerap sangat nak kencing berterusan, elok dapatkan pemeriksaan.
Minum air banyak-banyak boleh hilangkan?
Minum air secukupnya memang bagus dan boleh membantu badan mengeluarkan air kencing dengan lebih kerap. Tetapi kalau benar-benar ada jangkitan bakteria, air kosong sahaja mungkin tidak mencukupi.
Rawatan UTI bergantung pada puncanya dan keadaan seseorang. Dalam kes jangkitan bakteria, doktor mungkin memberikan antibiotik. Sebab itu elakkan ambil antibiotik sendiri atau guna baki ubat lama.
Ini bahagian yang jangan ambil ringan.
Kalau selain pedih dan kerap kencing, seseorang mula mengalami demam, menggigil, loya atau muntah, ataupun sakit di bahagian belakang, sisi badan atau pinggang, ia boleh menjadi tanda jangkitan sudah melibatkan buah pinggang.
Jangkitan buah pinggang perlu dirawat dengan segera kerana dalam keadaan tertentu ia boleh menyebabkan komplikasi serius.
Jadi, lain kali kalau badan mula bagi hint melalui tandas, jangan sekadar fikir, “Alaaa… kencing kotor je.”
Kadang-kadang benda yang nampak kecil itulah sebenarnya badan tengah minta kita ambil perhatian.
Kencing pedih, kerap sangat nak kencing atau ada darah dalam air kencing? Janganlah berteka-teki. Periksa dan dapatkan nasihat doktor.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.