Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Kurang Tidur Punca Strok Senyap, Lelaki 29 Tahun Jadi Bukti

Bukan rokok atau alkohol, tapi kurang tidur. Kes ini buka mata tentang bahaya yang ramai anggap remeh.

Ramai orang menyangka strok hanya berlaku kepada warga emas, perokok tegar atau mereka yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat. Hakikatnya, strok juga boleh menyerang golongan muda yang kelihatan sihat dari luaran. Inilah yang berlaku kepada seorang lelaki berusia 29 tahun. Dia tidak merokok, tidak minum alkohol, malah bersenam tiga kali seminggu. Semua orang melihatnya sebagai individu yang mengamalkan gaya hidup sihat.

Namun, satu malam segalanya berubah.

Dia terjaga tengah malam dan mendapati tangan kanannya tidak boleh digerakkan. Mukanya terasa kebas dan dia langsung tidak mampu bercakap dengan jelas. Keluarganya panik. Dia segera dibawa ke hospital dan doktor mengesahkan bahawa dia mengalami strok.

Doktor sendiri terkejut lalu bertanya, “Umur macam ni? Macam mana boleh jadi?”

Rupanya, puncanya bukan rokok atau alkohol tetapi satu tabiat yang dianggap biasa oleh ramai orang iaitu kurang tidur.

Setiap hari, selama bertahun-tahun, dia hanya tidur sekitar 4 hingga 5 jam setiap malam. Kerja berlanjutan sehingga pukul 2 pagi, kemudian bangun semula pada pukul 7 pagi. Dia sering berkata kepada diri sendiri, “Weekend nanti aku cover balik.” Untuk kekal bertenaga, dia bergantung kepada minuman tenaga dan kopi tanpa henti.

Apa yang berlaku dalam badan sebenarnya sangat berbahaya. Kurang tidur menyebabkan hormon kortisol meningkat. Ini mencetuskan keradangan dalam badan, merosakkan salur darah, meningkatkan tekanan darah, dan akhirnya boleh menyebabkan pembekuan darah yang membawa kepada strok.

Pakar jantung menjelaskan bahawa tidur kurang daripada 6 jam sehari boleh meningkatkan risiko strok sehingga 200 peratus. Kesannya seolah-olah seseorang menghisap satu kotak rokok setiap hari. Lebih mengejutkan, tekanan darah lelaki ini ialah 140/95, namun dia langsung tidak menyedarinya.

Selain kurang tidur, terdapat beberapa faktor risiko strok pada orang muda yang ramai abaikan. Antaranya ialah pengambilan minuman tenaga yang boleh menyebabkan kekejangan salur darah, penggunaan pil perancang bagi wanita, tekanan darah tinggi yang tidak dikesan, kurang pergerakan akibat gaya hidup sedentari, serta sejarah keluarga yang mempunyai masalah strok.

Kita juga perlu mengenali tanda amaran strok melalui kaedah F.A.S.T. :

Face bermaksud muka menjadi senget.

Arm ialah tangan menjadi lemah atau tidak boleh diangkat.

Speech merujuk kepada percakapan menjadi pelat atau sukar bercakap.

Time pula bermaksud masa sangat penting. Jika nampak walaupun satu tanda sahaja, hubungi talian kecemasan 999 segera.

Ini kerana 4.5 jam pertama dikenali sebagai “golden window”, iaitu tempoh paling penting untuk rawatan bagi mengurangkan kerosakan otak dan meningkatkan peluang sembuh.

Apa yang boleh kita lakukan?

Periksa tekanan darah secara berkala, pastikan tidur sekurang-kurangnya 7 jam setiap malam, kurangkan minuman tenaga dan lakukan pemeriksaan darah seperti kolesterol serta pembekuan darah.

Alhamdulillah, lelaki ini selamat selepas melalui 6 bulan proses rehabilitasi. Tangannya kembali pulih dan percakapannya hampir normal. Kini, dia menjaga tidur dengan lebih serius, tidur 8 jam setiap malam dan sentiasa memantau tekanan darahnya.

Jangan tunggu sehingga badan rebah baru nak berubah. Kadang-kadang badan sudah memberi signal lebih awal seperti bangun pagi masih letih, rambut makin gugur, perut kembung selepas makan. Kita selalu pujuk diri dengan berkata, “Normal je ni.”

Tetapi sebenarnya, badan sedang menjerit meminta perhatian. Jangan ulang kesilapan yang sama. Kalau nampak tanda strok, telefon 999 segera. Masa sangat berharga.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.