Dengar playlist penuh di sini
.
Sekarang ini kalau pasangan sudah berpisah, kadang-kadang belum sempat masing-masing tenang, cerita peribadi sudah mula keluar di media sosial. Ada yang mendedahkan kisah bekas pasangan menggunakan kad kredit, ada yang membalas dakwaan tentang kehidupan intim dalam rumah tangga, dan ada pula yang menjadikan kisah hubungan yang sudah berakhir sebagai bahan content. Yang lebih pelik, perkara yang sepatutnya menjadi rahsia antara dua orang akhirnya menjadi tontonan ribuan, malah jutaan orang. Persoalannya, kenapa selepas putus atau bercerai, kita rasa perlu menceritakan semua keburukan orang yang pernah kita sayang?
Mungkin sebab marah. Mungkin sebab mahu membersihkan nama sendiri. Mungkin rasa puas apabila orang ramai berpihak kepada kita. Atau mungkin kerana zaman sekarang, cerita kontroversi memang mudah mendapat perhatian. Satu posting boleh dapat ribuan komen, orang mula simpati, follower bertambah dan nama semakin dikenali. Lama-lama, masalah rumah tangga yang sepatutnya diselesaikan secara peribadi bertukar menjadi pertandingan siapa paling pandai membuka aib siapa.
Tetapi cuba fikir sekejap. Orang yang kita sedang malukan itu pernah menjadi orang yang kita pilih untuk dicintai. Pernah kita puji, pernah kita pertahankan, pernah kita pegang tangannya dan mungkin pernah kita janji untuk menjaga maruahnya. Bila hubungan berakhir, kenapa semua rahsia yang pernah dipercayakan kepada kita tiba-tiba menjadi bahan untuk membalas dendam?
Dalam budaya Melayu pula, kita selalu bercakap tentang malu, maruah dan adab. Tetapi media sosial seolah-olah membuatkan sebahagian daripada kita lupa bahawa tidak semua perkara yang kita tahu perlu diberitahu kepada dunia. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan perkara intim antara suami isteri atau pasangan. Sekali kita tulis di internet, kita mungkin boleh padam posting, tetapi kita tidak boleh memastikan semua orang yang sudah membaca atau merakamnya turut memadam.
Dari sudut Islam, perkara ini lebih berat. Menutup aib bukan bermaksud kita perlu berdiam diri terhadap kezaliman atau membiarkan seseorang terus menjadi mangsa. Jika berlaku penderaan, penipuan, ugutan atau perkara yang melibatkan keselamatan, sudah tentu seseorang berhak mendapatkan bantuan dan menceritakan perkara tersebut kepada pihak yang boleh membantu. Tetapi membuka aib untuk memalukan, membalas dendam atau mencari sokongan orang ramai adalah perkara yang sangat berbeza.
Yang paling menyedihkan ialah apabila orang yang membaca pula menjadi penonton. Kita ketawa, kita komen, kita pilih pihak dan kita tunggu episod seterusnya. Sedangkan di sebalik “content” itu mungkin ada anak-anak yang suatu hari nanti akan membaca semua cerita tentang ibu atau bapa mereka sendiri.
Tak salah untuk bercakap tentang pengalaman selepas putus atau bercerai. Tetapi mungkin ada beza antara berkongsi pengajaran dan menjaja aib. Kita boleh berkata hubungan itu gagal kerana masalah komunikasi, kewangan atau ketidakserasian tanpa mendedahkan setiap rahsia yang pernah berlaku di dalam bilik tidur atau rumah sendiri.
Sebab bila hubungan sudah berakhir, mungkin kita tidak lagi mempunyai tanggungjawab sebagai pasangan.
Tetapi tanggungjawab menjaga maruah orang yang pernah kita cintai itu sangat penting. Tak semua orang ada adab ini.
Dan kalau kita benar-benar rasa perlu menceritakan keburukan bekas pasangan kepada seluruh dunia untuk membuktikan bahawa kita yang betul, mungkin kita patut tanya diri sendiri satu soalan:
“Aku sedang mencari keadilan, atau sebenarnya aku cuma mahu orang ramai melihat dia jatuh?”

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.