Dengar playlist penuh di sini
.
Dengar sini, anak-anak. Mak ayah kita tak pernah mengharap duit daripada kita. Tak pernah. Mereka besarkan kita dari kecil, susah payah cari rezeki, tanggung sekolah, makan minum, pakaian, sampai kita boleh berdikari. Walaupun mereka tak minta, sekali-sekala hulur duit pun terasa pahala dan keberkatan.
Yang peliknya, kadang-kadang anak sendiri yang paling kedekut. Gaji masuk, simpan sendiri, fikir “cukup-cukup makan je lah.” Duit mak ayah? Abaikan. Kalau ada yang ingatkan, baru bagi. Kalau tak, buat-buat tak sedar. Sedangkan kalau ada kesedaran untuk memberi, walaupun sikit, duit itu seolah-olah datang dengan berkat lebih daripada cukup, walaupun bagi. Pelik, kan?
Masalahnya bukan tentang berapa banyak yang diberi. RM50 pun cukup, asal ikhlas. Tapi bila anak berkira, tunggu gaji penuh baru nak bagi atau rasa berat hati nak hulur, itu yang rugi. Duit sendiri pun rasa tak cukup. Hidup terasa sempit. Tapi bila bagi sikit dengan hati ikhlas, tiba-tiba ada ruang lega, ada ketenangan, ada rasa cukup,lebih daripada cukup sebenarnya. Logik ke? Tak logik kan, tapi itulah realiti yang kita sendiri boleh rasa.
Dan jangan tipu diri sendiri. Kita semua tahu ada anak yang boleh bagi lebih tapi sengaja kedekut. Kita selalu dengar alasan macam: “Aku baru mula kerja,” “Aku ada komitmen sendiri,” “Nanti aku bagi bila cukup duit.” Eh, itu semua alasan! Bila kedekut, bukan hanya hilang keberkatan duit, hilang pahala kasih sayang juga. Anak yang memberi bukan kerana terpaksa tapi kerana kesedaran, itulah yang berkat.
Bagi yang masih tak faham, cuba renung balik. Mak ayah tak minta kita bayar mereka macam hutang bank. Mereka tak buat akaun siap-siap untuk dikreditkan gaji anak. Tapi bila kita beri sedikit, mereka gembira bukan kerana jumlah. Tapi kerana anak masih peduli. Dan energi positif itu balik semula kepada kita. Duit jadi lebih “cukup”, rezeki lain datang, hati pun tenang.
Sekarang yang paling menyedihkan, ramai anak lupa hal ini. Semua fokus pada diri sendiri, hutang, komitmen, gaya hidup. Sedangkan ibu bapa yang besarkan kita dulu? Tak minta apa-apa, cuma mahu sedikit kesedaran. Sedikit perhatian. Sedikit niat baik. Itu sudah cukup.
Jadi, untuk anak-anak yang baca ini..berhenti jadi kedekut, berkira. Jangan tunggu diingatkan. Jangan tunggu cukup duit. Jangan tunggu alasan sempurna. Hulur. Sedikit pun tak apa, asal ikhlas. Itu bukan kerugian. Itu berkat. Dan yang paling penting ia buat mak ayah senyum, lega dan hati mereka terasa dihargai.
Ingat. Duduk rumah tanpa berkat, duit banyak pun terasa sempit. Tapi bila kita ada kesedaran memberi walaupun sedikit, hati lega, rezeki datang, hidup lebih tenang. Itu yang pelik tapi benar. Itu yang generasi kita kena tahu.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.