Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Mak-mak Yang Bersalin C-sec Kena Ada Chewing Gum Dalam Beg!

Jangan pelik kalau doktor suruh kunyah gula-gula getah lepas bersalin C-section. Rupanya ini trick paling berkesan nak elakkan perut kembung dan sembelit!

Bagi wanita yang bakal menjalani pembedahan seperti melahirkan anak secara C-section, membuang fibroid, cyst, mahupun pembedahan buang rahim, persiapan mental untuk fasa pemulihan adalah sangat penting. Namun, selain ubat-ubatan hospital, ada satu rahsia kecil yang sangat berkesan tetapi jarang diketahui oleh ramai orang. Selepas sedar daripada bius, cubalah kunyah gula-gula getah (chewing gum) tanpa gula.

Mungkin ia kedengaran lawak namun kaedah ringkas ini sebenarnya mempunyai sandaran sains yang sangat kuat dalam dunia perubatan untuk mempercepatkan proses penyembuhan selepas pembedahan di bahagian perut atau pelvis.

Bagaimana Gula-gula Getah Boleh Membantu?

Apabila seseorang menjalani pembedahan major di bahagian abdomen, sistem pencernaan atau usus biasanya akan ‘terlanjur tidur’ akibat kesan daripada ubat bius dan impak manipulasi semasa operasi. Keadaan usus yang tidak bergerak atau lumpuh sementara ini dikenali sebagai paralytic ileus.

Di sinilah gula-gula getah memainkan peranannya sebagai ‘penipu’ yang bijak:

  • Menipu Sistem Saraf Pusat: Aktiviti mengunyah akan menghantar isyarat palsu ke otak bahawa ada makanan yang sedang masuk ke dalam mulut.
  • Mengaktifkan Hormon Pencernaan: Respons daripada isyarat tersebut membuatkan otak mengarahkan usus untuk kembali bekerja, merembeskan jus pencernaan dan bergerak bagi bersiap sedia menerima makanan.
  • Memulihkan Fungsi Usus Tanpa Beban: Walaupun hakikatnya tiada sebarang makanan pepejal yang ditelan, usus sudah mula dirangsang untuk terjaga daripada tidur dengan selamat.
Bahaya Jika Usus Lambat ‘Bangun’

Kegagalan usus untuk berfungsi semula dengan cepat boleh mencetuskan pelbagai simptom yang menyiksakan pesakit. Perut akan mula terasa tegang, kembung yang teramat sangat (bloatedness), mual-mual, muntah, serta mengalami sembelit yang teruk.

Kesan rantaian daripada masalah ini bukan sahaja melambatkan proses pemulihan malah memaksa pesakit untuk tinggal lebih lama di wad hospital. Antara KPI utama doktor untuk membenarkan pesakit pulang ke rumah selepas pembedahan perut adalah apabila pesakit sudah berjaya membuang angin (kentut) atau membuang air besar.

Semakin lama seseorang pesakit terlantar di hospital, semakin tinggi risiko mereka untuk terdedah kepada komplikasi lain, terutamanya risiko jangkitan kuman hospital yang berbahaya atau disebut sebagai nosocomial infection.

Langkah Mudah, Murah Dan Selamat

Selain daripada amalan early ambulation iaitu bergerak dan berjalan awal selepas pembedahan, mengunyah gula-gula getah adalah alternatif tambahan yang terbukti selamat, murah dan sangat efektif.

Jadi, buat kaum ibu atau wanita di luar sana yang sedang menghitung hari untuk menjalani sebarang prosedur pembedahan ginekologi, sama ada laparoskopi, laparotomi, mahupun kes kecemasan seperti kehamilan luar rahim (ectopic pregnancy), pastikan anda selitkan beberapa paket gula-gula getah tanpa gula ke dalam beg hospital anda. Usaha kecil ini mungkin menjadi penyelamat yang memudahkan urusan berpantang dan pemulihan anda nanti.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.