Dengar playlist penuh di sini
.
Tular kandungan yang didakwa dihasilkan oleh warga Indonesia menggunakan imej Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dalam gambaran yang mengaibkan. Lebih menyedihkan, perkara ini berlaku ketika keluarga masih berdepan dengan kehilangan insan tersayang.
Persoalannya, di mana letaknya pertimbangan kita sebagai manusia?
Tun Dr Mahathir sudah berusia lebih 101 tahun, manakala isterinya baru sahaja meninggal dunia. Tergamakkah kita menjadikan wajah mereka bahan penghinaan demi mendapatkan tanda suka, perkongsian dan perhatian di media sosial?
Apa sebenarnya yang mahu dibuktikan? Bahawa kita kreatif? Bahawa kita berani? Atau bahawa kita sanggup melakukan apa sahaja demi menjadi viral?
Kepada mereka yang menghasilkan kandungan sebegini, pernahkah terlintas satu soalan dalam fikiran? Tidak takutkah akan kifarah? Tidak takutkah akan balasan Allah?
Dalam Islam, maruah manusia bukan perkara yang boleh dipermainkan sesuka hati. Kita bukan Tuhan untuk menentukan bagaimana seseorang akan menerima balasan, tetapi kita wajib sedar bahawa setiap perbuatan mempunyai tanggungjawab.
Cuba bayangkan jika perkara sama dilakukan terhadap ibu atau ayah kita yang baru meninggal dunia. Ketika keluarga masih bersedih, tiba-tiba gambar insan tersayang dimanipulasi dan dijadikan bahan ketawa oleh orang yang langsung tidak mengenali mereka.
Sanggupkah kita menerimanya?
Jika kita sendiri tidak sanggup melihat keluarga diaibkan sedemikian rupa, mengapa kita tergamak melakukannya kepada orang lain?
Kepada netizen Indonesia, anda boleh membenci Malaysia, boleh mengkritik pandangan, dan pecapaian Malaysia. Namun, kritikan tidak sama dengan penghinaan, dan perbezaan pendapat bukan lesen untuk membuang segala batas kemanusiaan.
Kepada rakyat Malaysia, jika benar kandungan itu dihasilkan oleh individu dari Indonesia, kecamlah perbuatan tersebut berdasarkan fakta. Namun, jangan menghukum seluruh rakyat Indonesia atas tindakan segelintir pihak.
Perbuatan yang melanggar undang-undang boleh dipertanggungjawabkan melalui proses pengadilan dunia. Soal dosa, pengampunan dan pengadilan akhirat pula adalah urusan Allah.
Ingat, bukan semua perkara boleh dijadikan bahan lawak. Bukan semua perkara perlu dikongsi, apatah lagi apabila melibatkan kematian, keluarga dan maruah manusia.
Lawak ada hadnya. Kebebasan ada tanggungjawabnya. Dan adab sepatutnya tidak hilang hanya kerana kita berada di sebalik skrin.
Sebelum memuat naik sesuatu yang mengaibkan orang lain, gunakan akal, ingat agama dan bayangkan jika perkara sama berlaku kepada keluarga sendiri.
Jangan sampai demi membuat orang lain ketawa, kita sendiri lupa bagaimana menjadi manusia yang mempunyai hati dan perasaan. Semoga pihak berkuasa boleh terus mengambil tindakan keras terhadap individu tersebut.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.