Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Membesar Dalam Keluarga Tak Solat? Kamu Tak Keseorangan

Bila seluruh keluarga tidak menjaga solat, kita mudah berasa keseorangan. Namun, percayalah, masih ada harapan dan doa yang tidak pernah sia-sia.

Mungkin ada antara anda yang sedang melalui perkara ini.

Bukan datang dari keluarga yang membiasakan solat. Ayah tak solat. Mak pun sama. Abang, kakak, adik..semua membesar tanpa suasana itu. Malah bila balik kampung sekalipun, keadaan tetap sama.

Dan lama-kelamaan, kamu pun mungkin mula rasa ia sesuatu yang biasa.

Solat dirasakan tidak penting. Tinggal solat tak rasa bersalah. Hidup berjalan seperti tiada apa yang kurang.

Kalau ini situasi anda, you are not alone….

Ada orang yang hanya mula sedar ‘sesuatu hilang’ bila mereka keluar dari lingkungan itu. Contohnya bila masuk sekolah asrama, tinggal dengan orang yang berbeza latar belakang dan mula nampak bagaimana orang lain menjaga solat mereka dengan konsisten.

Pada mulanya mungkin rasa janggal.

Tapi perlahan-lahan, akan ada satu perasaan yang sukar dijelaskan. Rasa tenang yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Seolah-olah ada ruang dalam hati yang sebelum ini kosong, tiba-tiba terasa terisi.

Dan pada ketika itu, solat bukan lagi sekadar rutin.

Ia jadi tempat untuk tenang. Tempat untuk melepaskan apa yang tak mampu dikata kepada manusia lain. Tempat untuk rasa bahawa Allah itu dekat walaupun hidup sedang berserabut dengan pelbagai urusan.

Kalau anda sudah mula menjaga solat, itu satu perubahan yang besar.

Tapi cabaran sebenar selalunya datang bila kembali ke persekitaran lama.

Rumah yang tiada suasana azan. Keluarga yang tidak pernah sama-sama mengingatkan. Situasi yang membuatkan rasa asing walaupun anda sedang cuba berubah.

Dan mungkin akan ada saat anda rasa serba salah.

“Kenapa keluarga aku masih begini?”

“Bila mereka akan berubah?”

Perasaan itu normal.

Tapi satu perkara yang perlu diingat, hidayah itu bukan dalam kawalan kita.

Kamu boleh mula dengan diri sendiri. Ajak perlahan-lahan, tanpa memaksa. Mungkin dengan adik. Mungkin dengan sekadar mengingatkan waktu tertentu. Kecil tapi konsisten.

Dan selebihnya, biarkan doa yang bekerja.

Jangan pernah berhenti berdoa untuk keluarga, walaupun perubahan itu nampak lambat atau tidak ada langsung.

Kerana hati manusia bukan milik kita untuk dibuka.

Ia milik Allah.

Dan Allah boleh mengubah sesuatu dalam sekelip mata, pada waktu yang kita tidak sangka.

Jika anda sedang melalui perkara ini teruskanlah melangkah ya…

Walaupun perlahan. Walaupun sendiri pada awalnya.

Kerana perubahan yang paling besar selalunya bermula dari satu hati yang tidak putus asa untuk berdoa.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.