Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Meremang Bulu Roma, Buat Maksiat Dalam Bilik Jenazah?

Kejadian ini dikatakan berlaku berulang kali dalam tempoh sebulan, membabitkan seorang penjaga masjid dan seorang pekerja pembersihan.

Baru-baru ini masyarakat dikejutkan dengan satu berita yang agak menyayat hati, membabitkan dua individu yang bekerja di sebuah masjid didakwa melakukan perbuatan tak senonoh di dalam bilik pengurusan jenazah, tempat yang sepatutnya suci dan dihormati kerana ia digunakan untuk memandikan serta menguruskan jenazah sebelum dikebumikan. Kejadian ini dikatakan berlaku berulang kali dalam tempoh sebulan, membabitkan seorang penjaga masjid dan seorang pekerja pembersihan.

Isu ini mula tular apabila seorang jemaah wanita mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual oleh salah seorang individu terbabit. Yang lebih mengejutkan, pihak pengurusan masjid dikatakan bertindak menukar penjaga masjid berkenaan secara senyap-senyap tanpa membenarkan pengaduan rasmi dibuat, seolah-olah cuba menutup isu tersebut daripada pengetahuan umum. Bila perkara ini tersebar di media sosial, ramai yang marah dan kecewa, bukan sekadar dengan perbuatan yang berlaku, tetapi juga dengan cara pihak berkenaan cuba menyembunyikannya.

Selepas siasatan dijalankan, pihak berkuasa mendapati tiada unsur paksaan dalam kejadian tersebut, sebaliknya kedua-dua individu yang terbabit akhirnya mengaku bersalah di mahkamah syariah atas pertuduhan cubaan melakukan persetubuhan haram, sesuatu yang berlaku dalam bilik yang sepatutnya menjadi tempat paling suci dalam pengurusan seseorang yang telah kembali kepada Allah.

Kejadian ni memberi banyak pengajaran buat kita semua. Pertama, tiada tempat yang kebal daripada godaan nafsu kalau seseorang tak menjaga batas dan tak takutkan Allah dalam hatinya, walaupun tempat tersebut sepatutnya membawa seseorang lebih dekat mengingati mati dan akhirat. Kedua, jawatan atau kedudukan dalam institusi agama bukan jaminan seseorang itu bebas daripada dosa, kerana ketakwaan sebenar terletak pada hati, bukan pada gelaran atau tugas yang disandang.

Ketiga, sikap sesetengah pihak yang cuba menyembunyikan kesalahan demi menjaga nama baik institusi sebenarnya lebih memburukkan keadaan. Islam mengajar kita supaya sentiasa berlaku adil dan telus, walaupun ia melibatkan orang dalam kalangan sendiri, kerana menutup kesalahan bukan sahaja menzalimi mangsa, malah membuka ruang kepada kesalahan yang sama berulang pada masa depan.

Kejadian seumpama ini juga mengingatkan kita betapa pentingnya sistem pemantauan dan tadbir urus yang lebih ketat di institusi agama, supaya kepercayaan masyarakat yang diletakkan kepada golongan yang menjaga rumah ibadat tidak disalahgunakan. Yang paling penting, ini menjadi peringatan buat kita semua, taqwa bukan sekadar tentang penampilan luaran atau jawatan yang disandang, tetapi tentang menjaga hati dan pandangan di mana jua kita berada, walaupun tiada mata manusia yang melihat, kerana Allah sentiasa Maha Melihat.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.