Dengar playlist penuh di sini
.
Isu perkahwinan campur atau mixed marriage sebenarnya bukan perkara baharu di Malaysia. Ia sudah lama wujud, malah menjadi sebahagian daripada realiti masyarakat majmuk. Namun peliknya, setiap kali wanita Malaysia memilih untuk berkahwin dengan lelaki bukan Melayu, kecaman yang datang selalunya lebih kuat, lebih pedas dan lebih peribadi. Yang lebih menghairankan, kecaman ini sering datang daripada lelaki yang pada masa sama menganggap diri mereka bebas memilih jodoh sendiri.
Persoalannya, kenapa bila lelaki memilih pasangan mengikut kehendak hati, ia dianggap hak peribadi, tetapi bila wanita membuat pilihan yang sama, ia dilihat sebagai kesalahan besar? Kenapa pilihan wanita sering dipersoalkan seolah-olah mereka tidak berhak menentukan hidup sendiri? Ini bukan soal bangsa atau budaya semata-mata, tetapi soal sikap dan mentaliti yang masih sukar menerima kebebasan wanita membuat keputusan.
Ramai yang gemar menggunakan alasan agama, budaya dan maruah bangsa untuk mengecam, tetapi lupa satu perkara asas. Jodoh bukan ditentukan oleh netizen, bukan ditentukan oleh ego lelaki, dan bukan ditentukan oleh siapa yang paling kuat bersuara di media sosial. Jodoh adalah urusan individu dan ketentuan Tuhan. Dua orang dewasa yang memilih untuk membina kehidupan bersama bukan sedang meminta kelulusan orang ramai.
Ironinya, lelaki yang paling lantang mengecam sering kali juga tidak mahu dikawal dalam soal jodoh. Mereka mahu kebebasan memilih pasangan mengikut keserasian, tarikan dan keselesaan sendiri. Tetapi apabila wanita menggunakan hak yang sama, tiba-tiba muncul ayat seperti “rosak bangsa”, “tak fikir masa depan” atau “terpengaruh dengan luar”. Ini double standard!
Perkahwinan campur bukan jaminan kegagalan, sama seperti perkahwinan sesama kaum bukan jaminan kebahagiaan. Bahagia atau tidak sesuatu perkahwinan bergantung pada komitmen, kematangan, komunikasi dan tanggungjawab, bukan semata-mata warna kulit atau latar belakang. Realitinya, ramai perkahwinan yang “sekufu” dari luar pun berakhir dengan luka dan trauma.
Lebih menyedihkan, ada yang terlalu sibuk menghakimi pilihan orang lain sehingga lupa melihat hidup sendiri. Nasib kita di masa depan pun belum tentu. Hari ini mungkin rasa diri paling betul, paling tahu arah hidup, tapi siapa tahu apa yang menanti esok. Hidup ini tidak statik, dan manusia tidak pernah kebal daripada ujian.
Jika benar-benar mahu menasihati, lakukan dengan adab dan empati, bukan dengan kecaman dan hinaan. Dan jika tidak mampu menyokong, sekurang-kurangnya belajar untuk diam. Tidak semua perkara perlu diberi pendapat, apatah lagi apabila ia melibatkan kehidupan peribadi orang lain.
Kesimpulannya, baik lelaki dan wanita sama-sama berhak menentukan jodoh masing-masing. Jangan sibuk mengecam pilihan orang lain sedangkan hidup sendiri pun masih belum tentu arahnya. Hormati pilihan, jaga kata-kata, dan ingat satu perkara, jodoh orang bukan cerminan nasib kita.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.