Dengar playlist penuh di sini
.

Sejak dahulu lagi, masyarakat sudah lama dibentuk dengan satu anggapan di mana apabila ibu bapa semakin berusia atau memerlukan bantuan kewangan, anak lelaki ialah orang yang wajib memikul tanggungjawab tersebut.
Manakala anak perempuan pula sering dianggap terlepas daripada urusan itu. Ada yang beranggapan apabila seorang wanita sudah berkahwin, keutamaannya hanyalah pada suami dan rumah tangga sendiri.
Sebab itu kadang-kadang muncul ayat seperti:
“Biarlah abang yang jaga mak ayah, dia kan anak lelaki.”
Atau:
“Adik perempuan dah kahwin, tak payah susah-susah fikir sangat.”
Tetapi persoalannya, betul ke begitu?
Hakikatnya, dalam Islam, berbuat baik kepada ibu bapa ialah tanggungjawab semua anak tak kira lelaki mahupun perempuan.
Bezanya, ada perincian tertentu bila melibatkan nafkah wajib dan kemampuan seseorang.
Secara asasnya, anak yang mempunyai kemampuan dan ibu bapa pula benar-benar memerlukan bantuan, maka membantu mereka adalah satu perkara yang sangat dituntut.
Malah para ulama menjelaskan bahawa jika ibu bapa berada dalam kesusahan dan memerlukan bantuan, anak-anak yang berkemampuan perlu memainkan peranan mengikut kemampuan masing-masing.
Ini bermaksud tanggungjawab itu tidak automatik jatuh kepada seorang anak lelaki sahaja.
Kalau seorang anak perempuan mempunyai kemampuan kewangan, pekerjaan yang stabil dan mampu membantu ibu bapanya, tiada larangan untuk dia membantu. Malah ia termasuk amalan yang sangat mulia.
Apa yang sering menimbulkan kekeliruan ialah kedudukan nafkah selepas berkahwin.
Selepas seorang wanita berkahwin, nafkah dirinya menjadi tanggungjawab suami. Tetapi perkara itu tidak bermaksud hubungan dan tanggungjawab terhadap ibu bapa terus terputus.
Kasih sayang kepada ibu bapa tidak berhenti di pintu rumah pengantin.
Ramai anak perempuan hari ini membantu ibu bapa dalam pelbagai cara:
Dan kadang-kadang, bukan soal wang semata-mata.
Ada ibu bapa yang lebih perlukan masa, perhatian dan kehadiran anak-anak.
Yang lebih menyedihkan, kadang-kadang wujud situasi apabila semua tanggungjawab diletakkan pada seorang anak lelaki sahaja sedangkan adik-beradik lain mampu membantu.
Akhirnya seorang memikul beban terlalu banyak, sedangkan tanggungjawab terhadap ibu bapa sebenarnya lebih indah jika dipikul bersama.
Hakikatnya, ibu bapa tidak membesarkan anak dengan membezakan kasih sayang berdasarkan jantina.
Waktu kecil dulu, ibu tidak kira anak lelaki atau perempuan ketika berjaga malam, menyuap makan atau risau bila anak demam.
Sebab itu apabila dewasa, tanggungjawab berbuat baik kepada mereka juga tidak sepatutnya dilihat melalui jantina semata-mata.
Kerana pada akhirnya, menjadi anak yang baik bukan ditentukan oleh lelaki atau perempuan.
Tetapi pada siapa yang tetap hadir ketika ibu bapa memerlukan.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.