Dengar playlist penuh di sini
.
Raya lambat lagi, tapi nak pesan siap-siap, nanti bila dah masuk musim perayaan tu, sila tukar mindset anda, balik kampung bukan bermakna anda boleh campak segala tanggungjawab ke bahu tuan rumah. Tak kira la itu rumah nenek, makcik, mentua, atau tok mentua, fahamkan satu hakikat ini, anda balik sebagai keluarga, bukan sebagai pelancong yang sedang menginap di hotel! Kalau rasa nak dilayani macam raja, mahu bilik sentiasa kemas dan makanan terhidang tanpa perlu keluar peluh, silakan tempah hotel. Di kampung, anda datang untuk berbakti, bukan untuk menambah beban.
Paling sakit hati melihat golongan anak, menantu, hinggalah ke cucu yang bila sampai sahaja ke kampung, kerjanya cuma cari bantal atau skrol telefon di ceruk bilik. Datang dapur pun sekadar nak tanya “Eh, masak apa hari ni?” .
Tuan rumah dah cukup penat sediakan tempat tidur yang selesa untuk anda. Takkanlah nak tunggu nenek yang sudah bongkok atau makcik yang sudah penat itu juga yang kena kupas bawang, basuh ayam, dan sediakan hidangan kegemaran anda? Jangan jadi orang yang tak tahu malu,datang cuma bawa perut, tapi tenaga langsung tak mahu sumbang. Tak kira anda menantu baru atau anak kesayangan, letak telefon itu dan pergi tanya apa yang boleh dibantu. Eh kalau nak offer masak pun silakan, mungkin lagi dialu-alukan.
Istilah “function” ini senang sahaja, buat kerja! Jangan jadi “raja” yang hanya tahu goyang kaki tunggu semua orang sediakan. Kalau anda rasa tak pandai masak, tolonglah bantu fikirkan menu atau tolong beli barang dapur. Jangan biarkan tuan rumah seorang diri pening kepala nak jamu 20 orang yang mulutnya masing-masing pandai komplen kalau masakan tak kena selera.
Lepas makan, janganlah buat perangai “lepas makan terus hilang”. Meja penuh sisa, tulang ayam bersepah, pinggan kotor bertimbun dalam sinki, tapi anda sudah selamat baring depan kipas. Eh, anda ingat tuan rumah itu hamba abdi anda ke? Sila ada sedikit empati. Tak mati pun kalau anda basuh pinggan sendiri dan tolong sental kuali di dapur.
Lagi satu, kalau ada yang “function” pon , orang yang sama tu jelah yang berpenat lelah. Ahli keluarga yang lain masih dibuai angan yang mereka ni kerabat raja yang patut dilayan oleh dayang-dayang istana. Take initiative macam tu rumah awak, tuan rumah tak marah , malah lagi dia suka adalah.
Ada sesetengah anak saudara atau cucu pula guna alasan “kami datang nak ziarah”. Ziarah apa namanya kalau hanya menyusahkan orang? Justeru kerana kita keluarga, sepatutnya kita yang paling rajin membantu. Jangan sampai tuan rumah memendam rasa dan melabel anda sekeluarga sebagai “tetamu puaka” yang hanya tahu makan percuma dan menyepahkan rumah.
Balik kampung adalah tentang berkongsi beban, bukan menambah beban. Jangan biarkan kepulangan anda yang kononnya nak “mengeratkan silaturahim” itu sebenarnya meninggalkan dendam dan kepenatan yang melampau kepada tuan rumah. Ringankan tangan, tajamkan mata melihat apa yang patut dibantu. Kalau rasa tak boleh nak “function”, lebih baik duduk diam-diam di rumah sendiri dan jangan menyusahkan orang lain dengan perangai pemalas anda itu!

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.