Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Parent Sendiri Buka Pintu Anak Ke Dunia Tanpa Sempadan

Anak duduk rumah tak semestinya selamat. Bila telefon diberi tanpa batas, dunia luar boleh masuk terus ke tangan mereka.
Two teenagers using smartphones on a sofa with a small dog. A relaxed, indoor scene depicting leisure time.

Kadang-kadang rasa nak marah pun ada tengok cara sesetengah ibu bapa bagi anak pegang telefon.

Pagi boleh. Malam boleh. Makan boleh. Dalam kereta boleh. Sebelum tidur pun boleh.

Alasannya?

“Tak apa, dia duduk rumah je.”

Inilah yang ramai kita mungkin belum sedar. Bila anak diberikan telefon dengan akses internet tanpa sempadan, sebenarnya kita bukan sekadar memberikan mereka sebuah alat untuk bermain.

Kita sedang memberikan mereka pintu masuk ke seluruh dunia.

Anak duduk di atas katil tetapi fikiran dan matanya boleh pergi ke mana-mana.

Boleh jumpa orang yang kita tak kenal. Boleh melihat perkara yang kita sendiri tak sanggup tengok. Boleh terpengaruh dengan bahasa, trend, gaya hidup dan tingkah laku yang langsung tak sesuai dengan umur mereka.

Dan yang lebih membimbangkan, semua itu boleh berlaku tanpa mereka perlu keluar selangkah pun dari rumah.

Sebab itu, ayat “anak aku selamat sebab dia duduk rumah” sudah tak cukup untuk zaman sekarang.

Dunia anak bukan lagi sekadar kawasan rumah, sekolah dan taman permainan.

Skrin di tangan mereka boleh menjadi sempadan yang hilang.

Hari ini tengok satu video. Esok ikut gaya percakapan. Lusa mula rasa perkara yang dulu dianggap memalukan itu “biasa”. Lama-lama, apa yang mereka lihat berulang kali boleh mempengaruhi cara mereka bercakap, berfikir dan melihat diri sendiri.

Lebih menyedihkan apabila ada anak yang mula berani memuat naik macam-macam di media sosial, bercakap sesuka hati, tak rasa malu dan tak lagi takut ditegur ibu bapa.

Kemudian kita tertanya-tanya…

“Kenapa anak aku berubah?”

Sedangkan mungkin kita terlupa bertanya satu soalan yang lebih penting:

“Apa yang anak aku tengok setiap hari?”

Telefon bukan musuh. Teknologi pun bukan sesuatu yang perlu ditakuti.

Tetapi telefon yang diberikan tanpa batas, tanpa pemantauan dan tanpa pendidikan tentang apa yang boleh dan tak boleh dilihat boleh membuka pintu yang terlalu besar untuk seorang anak yang belum cukup matang menilai dunia.

Jadi tolonglah, ibu ayah.

Jangan hanya pastikan anak duduk di rumah.

Pastikan juga dunia yang mereka masuki melalui skrin itu kita kenal.

Sebab zaman sekarang, anak tak perlu keluar rumah untuk terjebak dengan dunia luar.

Dunia itu sendiri sudah masuk ke dalam bilik mereka melalui skrin.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.