Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Pergi Pejabat Agama, Kenapa Orang Terus Ingat Nak Bercerai?

Kenapa masyarakat cepat membuat andaian apabila suami isteri mendapatkan khidmat kaunseling di pejabat agama? Bukankah itu satu usaha yang patut disokong?

Pelik juga dengan tanggapan sesetengah masyarakat. Bila terdengar suami isteri pergi ke pejabat agama, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran ialah, “Nak cerai lah tu..”

Ada pula yang mula bertanya itu dan ini. Ada yang terus membuat andaian rumah tangga sudah bermasalah teruk. Sedangkan mereka sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang sedang dilalui pasangan tersebut.

Hakikatnya sejak bila mendapatkan khidmat kaunseling dianggap sebagai tanda sesebuah perkahwinan sudah gagal?

Bukankah mendapatkan bantuan daripada pihak yang sepatutnya juga satu usaha untuk memperbaiki keadaan?

Dalam perkahwinan, bukan semua masalah boleh diselesaikan dengan hanya duduk berbincang berdua. Ada kalanya emosi terlalu tinggi, komunikasi tidak lagi berjalan dengan baik dan masing-masing merasakan diri paling betul.

Ada pasangan yang sudah berkali-kali cuba berbincang tetapi tetap menemui jalan buntu. Ada juga yang terpaksa memendam perasaan kerana tidak tahu kepada siapa hendak mengadu.

Jika keadaan berlarutan, tekanan rumah tangga boleh memberi kesan kepada kesejahteraan emosi. Seseorang mungkin mengalami gangguan tidur, hilang tumpuan, mudah marah, keletihan mental dan sentiasa berasa tertekan.

Sebab itulah masalah rumah tangga tidak sepatutnya dipandang ringan. Kesihatan emosi juga perlu dijaga, sama seperti kesihatan fizikal.

Sebenarnya, mendapatkan khidmat kaunseling bukan bermakna seseorang sudah berputus asa dengan perkahwinannya.

Melalui sesi kaunseling, pasangan berpeluang mengenal pasti punca konflik, memahami perspektif masing-masing dan belajar cara berkomunikasi dengan lebih baik.

Ada yang datang kerana mahu memperbaiki hubungan. Ada yang mahu belajar mengawal emosi ketika berhadapan konflik. Tidak kurang juga yang memerlukan pandangan pihak ketiga untuk membantu mereka melihat masalah daripada sudut berbeza.

Pejabat agama merupakan antara saluran yang boleh dirujuk untuk mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling rumah tangga.

Jika tekanan emosi yang dialami turut memerlukan perhatian khusus, mendapatkan bantuan profesional kesihatan mental juga boleh dipertimbangkan.

Sangatlah membimbangkan apabila tanggapan masyarakat membuatkan pasangan takut untuk mendapatkan khidmat kaunseling.

Bimbang jiran tahu. Takut keluarga mula membuat andaian. Risau nanti dianggap rumah tangga sudah tidak boleh diselamatkan.

Akhirnya, masalah dipendam bertahun-tahun kerana tidak mahu orang lain tahu.

Sedangkan, mendapatkan bantuan bukan sesuatu yang memalukan. Malah ia menunjukkan seseorang itu sedar ada perkara yang perlu diperbaiki dan bersedia mengambil langkah untuk menghadapinya.

Sudah tentu, bukan semua masalah rumah tangga boleh diselesaikan melalui kaunseling. Namun sekurang-kurangnya pasangan diberikan ruang untuk mendapatkan panduan dan membuat keputusan dengan lebih baik.

Jadi, kalau terdengar ada pasangan yang pergi ke pejabat agama, jangan cepat membuat kesimpulan.

Mungkin mereka bukan sedang mencari jalan untuk berpisah. Sebaliknya, mereka sedang mencari jalan supaya tidak perlu berpisah.

Ingat, menjaga kesihatan bukan sekadar memastikan tubuh badan kita sihat. Ketenangan fikiran dan kesejahteraan emosi juga sama pentingnya. Dan tidak salah meminta bantuan apabila kita sudah tidak mampu menghadapinya sendirian.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.