Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Pernah Tidur Dalam Laci Kayu, Ini Kisah Awal Celine Dion

Sederhana, sempit dan penuh kekurangan bahkan boleh dikatakan daif, itulah permulaan hidup Céline Dion.

Siapa yang tidak kenal Céline Dion?
Suara besar yang pernah menggegarkan pentas dunia dengan lagu-lagu ikonik yang menyentuh jutaan hati peminat.

Tetapi berapa ramai yang tahu, di sebalik kejayaan itu, permulaannya jauh daripada kisah glamor?

Dia dilahirkan pada 30 Mac 1968 di Kanada, sebagai anak bongsu daripada 14 orang adik-beradik dalam sebuah keluarga yang hidup serba kekurangan.

Pada waktu itu, kehidupan keluarga mereka sangat mencabar. Ibu dan bapa bekerja di sebuah pub kecil demi menyara keluarga yang besar dengan pendapatan yang sentiasa tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian.

Keadaan kewangan yang begitu terhad membuatkan kehadiran seorang lagi bayi dalam keluarga ini menjadi satu tekanan besar. Malah, pada satu ketika, kehamilan tersebut hampir terpaksa tidak diteruskan kerana kesukaran hidup yang sedang mereka hadapi.

Namun akhirnya, dia tetap dilahirkan ke dunia ini.

Dan seperti adik-beradiknya yang lain, dia membesar dalam keadaan yang jauh daripada selesa.

Tiada katil bayi menantinya di rumah. Tiada ruang khas atau keselesaan seperti bayi lain.

Sebaliknya, tempat tidurnya hanyalah sebuah laci kayu yang diubah suai. Satu simbol kecil kepada realiti hidup sebuah keluarga yang sedang berjuang untuk terus bertahan.

Itulah permulaan hidup Céline Dion.

Sederhana, sempit dan penuh kekurangan….bahkan boleh dikatakan daif.

Namun dalam ruang yang serba terbatas itu, sesuatu yang luar biasa perlahan-lahan mula terbentuk.

Sejak kecil lagi, suaranya sudah mula menarik perhatian. Pada usia lima tahun, dia sudah berani menyanyi di hadapan orang ramai dan ada sesuatu pada suaranya yang tidak seperti kanak-kanak biasa.

Titik perubahan datang apabila dia berusia 12 tahun. Ibunya menulis sebuah lagu khas untuknya dan menghantar rakaman tersebut kepada seorang penerbit muzik.

Apabila mendengar suaranya, penerbit itu hampir tidak percaya bahawa ia datang daripada seorang kanak-kanak. Bakatnya terlalu luar biasa untuk diabaikan.

Dari situ, hidupnya mula berubah. Seorang penerbit muzik bernama René Angélil sanggup menggadaikan rumah sendiri demi membiayai album pertamanya.

Bertahun-tahun kemudian, dunia mengenalinya melalui lagu-lagu seperti The Power of Love. Lebih 200 juta album terjual di seluruh dunia, menjadikannya antara suara paling ikonik pernah lahir.

Dan di sebalik semua kejayaan itu, masih kekal satu gambaran yang tidak pernah hilang iaitu seorang bayi yang pernah tidur di dalam laci kayu, sebelum suaranya mengisi seluruh dunia.

Satu kisah yang hampir tidak berlaku tetapi akhirnya menjadi antara suara paling besar dalam sejarah muzik dunia.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.