Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengretro_master

Rumah Bantal: Kusyen Jadi Dinding dan Selimut Jadi Bumbung

Tanpa pelan dan tanpa bahan binaan, kanak-kanak Malaysia pernah membina struktur paling kompleks menggunakan apa saja yang ada di ruang tamu.

Suasana cuti sekolah membawa pagi yang panjang dan tiada rancangan khusus yang ditetapkan oleh sesiapa. Dalam keadaan itulah idea kreatif selalu datang bukan daripada mana-mana buku atau panduan sebaliknya muncul secara tiba-tiba sahaja, langkah pertama adalah mengambil bantal daripada sofa lalu menyusunnya menjadi dinding. Selepas itu selimut ditarik dari bilik dan dibentangkan untuk dijadikan bumbung. Dalam masa yang tidak sampai setengah jam ruang tamu yang tadi kelihatan biasa bertukar menjadi sebuah kubu istana atau rumah rahsia yang hanya membenarkan kita dan kawan-kawan rapat sahaja untuk masuk.

Peraturan yang Dicipta Ketika Sedang Membina

Pembinaan rumah bantal tidak pernah mempunyai pelan awal. Struktur ini dibina secara spontan dengan setiap keputusan dibuat ketika tangan sedang sibuk menyusun serta menindih bantal. Bantal yang bersaiz besar dijadikan dinding utama manakala bantal kecil pula bertindak sebagai pengisi celah yang terbuka. Kerusi makan kadang-kadang ditarik masuk sekali untuk dijadikan rangka bumbung supaya struktur menjadi lebih kukuh.

Peraturan untuk masuk ke dalam rumah bantal ini juga diwujudkan, ada yang menetapkan cara masuk yang khusus seperti merangkak dari pintu yang sempit supaya struktur tidak runtuh, ada pula yang menetapkan siapa yang boleh masuk dan siapa yang tidak dibenarkan. Malah ada anak-anak yang sangat serius menjaga rumah itu seolah-olah ia benar-benar sebuah kediaman sebenar yang perlu dilindungi.

Dunia di Dalam Rumah yang Berbeza

Apabila sudah masuk dan duduk di dalam suasana di sana dirasakan sangat berbeza daripada ruang tamu yang biasa. Keadaannya menjadi lebih gelap lebih sempit dan lebih peribadi. Kadang-kadang bantal sofa tambahan dibawa masuk untuk dijadikan alas duduk, ada yang membawa sekali snek atau air minuman bersama seolah-olah mereka sedang berkhemah di dalam hutan. Kadang-kadang mereka hanya duduk diam dalam kegelapan kecil itu tanpa berbuat apa-apa dan perasaan tersebut sudah cukup untuk membuatkan hari yang dilalui terasa luar biasa.

Ibu yang melihat gelagat ini kebiasaannya akan berpesan supaya jangan menyepahkan rumah tetapi mereka jarang untuk betul-betul marah. Hal ini mungkin kerana mereka sendiri pun pernah melakukan perkara yang sama ketika zaman kanak-kanak dahulu.

Apabila Kenangan itu Datang Semula Hari Ini

Sekarang apabila melihat kanak-kanak yang masih melakukan perkara yang sama seperti menyusun bantal menarik selimut dan membuat dinding daripada kusyen ada rasa hangat yang menerpa tanggapan kita tanpa diminta, perasaannya hadir bukan kerana ia sebuah aktiviti yang hebat atau kreatif dalam erti kata yang moden. Sebaliknya pengalaman tersebut mengingatkan kita kepada suatu waktu yang mana imaginasi merupakan satu-satunya modal yang diperlukan untuk mencipta dunia sendiri dan modal itu tidak pernah habis walaupun digunakan sebanyak mana pun.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.