Dengar playlist penuh di sini
.
Apabila suami isteri sah bercerai, ramai menyangka salah seorang perlu segera mengangkat kaki dan meninggalkan rumah yang pernah menjadi tempat mereka membina kehidupan bersama. Tetapi persoalannya, siapa sebenarnya yang perlu keluar? Suami atau isteri?
Persoalan ini kembali menjadi perhatian selepas kemelut melibatkan pelakon dan usahawan, Syida Melvin bersama bekas suaminya, Mohamad Syafiq Azim Shaheen tular di media sosial.
Menerusi siaran langsung yang mendapat perhatian ramai, Syida dilihat mendesak bekas suaminya mengosongkan kediaman yang pernah mereka diami bersama supaya dia dapat kembali tinggal di situ bersama tiga orang anak mereka.
Syida mendakwa sudah hampir lapan bulan meninggalkan rumah berkenaan dan terpaksa menumpang di rumah ahli keluarga. Dia turut menjelaskan bahawa hasratnya untuk kembali bukan semata-mata soal rumah tetapi bagi memastikan kehidupan serta persekolahan anak-anak lebih teratur.
Namun isu kediaman itu turut dikaitkan dengan persoalan harta sepencarian yang masih belum selesai.
Dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia, harta sepencarian merujuk kepada harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan hasil usaha bersama suami dan isteri.
Menariknya, sumbangan itu bukan hanya dinilai melalui siapa yang membayar ansuran rumah atau mengeluarkan wang pendahuluan.
Sumbangan tidak langsung seperti menguruskan rumah tangga, menjaga anak-anak dan memberi sokongan kepada pasangan juga boleh diambil kira oleh mahkamah.
Ini bermakna, seorang isteri yang tidak bekerja tetapi memainkan peranan besar dalam keluarga juga tidak semestinya kehilangan hak untuk membuat tuntutan terhadap harta yang diperoleh sepanjang perkahwinan.
Bagaimanapun, pembahagian harta sepencarian bukan secara automatik 50:50. Mahkamah akan menilai bentuk sumbangan dan keadaan setiap kes sebelum menentukan pembahagian yang sewajarnya.
Macam mana kalau rumah atas nama suami, isteri ke yang kena keluar?
Ini antara perkara yang sering mengelirukan ramai orang.
Hakikatnya nama yang tertera pada geran rumah bukan satu-satunya faktor dalam menentukan tuntutan harta sepencarian.
Jika rumah diperoleh sepanjang perkahwinan, pasangan yang tidak dinamakan sebagai pemilik berdaftar masih boleh mengemukakan tuntutan sekiranya mempunyai asas yang berkaitan.
Namun begitu, hak menuntut harta sepencarian tidak bermaksud seseorang boleh terus mengambil alih atau menguasai rumah tersebut sesuka hati.
Begitu juga dengan persoalan siapa perlu keluar selepas perceraian. Tiada peraturan umum yang menetapkan bahawa bekas isteri mesti keluar atau bekas suami wajib meninggalkan rumah secara automatik sebaik sahaja perceraian disahkan.
Hak untuk tinggal di kediaman dan hak pemilikan rumah merupakan dua perkara yang perlu dilihat secara berasingan. Jika berlaku pertikaian, perkara tersebut mungkin memerlukan persetujuan kedua-dua pihak atau perintah mahkamah.
Satu lagi perkara yang tidak boleh diketepikan ialah kebajikan anak-anak.
Dalam situasi perceraian, urusan tempat tinggal, persekolahan dan nafkah anak perlu diberikan perhatian. Anak-anak tidak sepatutnya menjadi pihak yang paling terkesan hanya kerana ibu bapa masih bertelagah tentang kediaman.
Jika berlaku pertikaian, pasangan boleh mendapatkan nasihat peguam syarie dan membawa tuntutan berkaitan harta sepencarian serta hak tempat tinggal melalui saluran undang-undang yang betul.
Perceraian bukan sekadar memutuskan ikatan perkahwinan. Ada tanggungjawab dan hak yang masih perlu diselesaikan selepas itu.
Rumah yang pernah dibina bersama mungkin menjadi sebahagian daripada kenangan tetapi soal hak dan kebajikan anak-anak tidak seharusnya dibiarkan tergantung terlalu lama.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.