Dengar playlist penuh di sini
.
Salahke kalau suka dan jatuh cinta pada suami orang? Ayat-ayat seperti ini semakin kerap muncul di media sosial, terutama di platform seperti Threads. Ramai berkongsi dilema apabila mereka mula menyukai seseorang yang sudah pun bergelar suami orang. Ada yang menganggap ia sekadar ujian perasaan, manakala ada pula yang berpendapat cinta tidak mengenal status.
Hakikatnya, perasaan memang sukar dikawal. Kita tidak boleh memilih kepada siapa hati mahu tertarik. Ada orang di tempat kerja, di universiti atau di media sosial yang tanpa disangka-sangka berjaya mencuri perhatian. Kadangkala tarikan itu hadir kerana personaliti, layanan yang baik atau keserasian dalam perbualan. Ia ibarat magnet yang menarik tanpa dipinta.
Namun, perasaan memang boleh datang tanpa dijangka, tetapi tindakan yang anda ambil merupakan pilihan. Di sinilah letaknya perbezaan yang sering orang terlepas pandang.
Menyedari seseorang itu sudah berkahwin sepatutnya menjadi titik untuk menetapkan sempadan. Menghormati status perkahwinan orang lain bukan bermaksud menafikan perasaan sendiri, tetapi memilih untuk tidak membiarkan perasaan itu berkembang sehingga mengganggu rumah tangga orang lain.
Malangnya, di media sosial sering muncul kenyataan seperti, “Kalau jodoh tak ke mana,” atau “Kalau dia bahagia, kenapa masih layan saya?” Kata-kata seperti ini kadangkala digunakan untuk menghalalkan hubungan yang semakin rapat dengan individu yang sudah berumah tangga. Bermula dengan sekadar membalas mesej, berkongsi masalah, akhirnya hubungan emosi terbina tanpa disedari.
Ramai pakar hubungan menyebut fenomena ini sebagai emotional affair, iaitu hubungan yang mungkin belum melibatkan sentuhan fizikal, tetapi sudah mewujudkan ikatan emosi yang sepatutnya hanya dimiliki oleh pasangan suami isteri. Dalam banyak keadaan, hubungan seperti inilah yang menjadi titik permulaan kepada konflik rumah tangga.
Pada masa yang sama, tanggungjawab bukan hanya terletak pada individu yang menyimpan perasaan. Lelaki yang sudah berkahwin juga mempunyai tanggungjawab untuk menjaga batas pergaulan. Memberi layanan istimewa, melayan mesej sehingga lewat malam atau sengaja memberi harapan kepada wanita lain hanya akan memburukkan keadaan.
Bagi mereka yang sedang melalui situasi ini, jangan terlalu menghukum diri hanya kerana mempunyai perasaan. Perasaan itu mungkin datang tanpa diundang. Tetapi jangan pula menggunakan alasan “cinta datang dari hati” untuk mengabaikan hak isteri, anak-anak dan sebuah keluarga yang telah dibina.
Kadang-kadang, tindakan paling matang bukanlah mengejar apa yang kita mahukan, tetapi melepaskan sesuatu yang bukan milik kita. Tidak semua cinta perlu dimiliki, dan tidak semua rasa perlu diterjemahkan menjadi hubungan.
Akhirnya, persoalan sebenar bukanlah “Salahkah suka suami orang?” Sebaliknya, persoalannya ialah apa yang kita pilih untuk lakukan selepas menyedari perasaan itu. Kerana nilai seseorang bukan diukur melalui perasaan yang hadir, tetapi melalui keputusan yang diambil apabila diuji dengan perasaan tersebut. Sebagai wanita pula, angkat martabat anda, maruah anda lebih tinggi daripada menjadi sekadar kekasih sorok-sorok kepada suami orang.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.