Dengar playlist penuh di sini
.
Pelik tapi benar, ada satu tahap taksub yang melampau dalam kalangan pemilik kucing sehingga deria bau mereka seolah-olah sudah “mati”. Masuk sahaja ke dalam rumah, hidung tetamu sudah dipukul dengan bau hancing kencing dan hamis najis yang menusuk kalbu, namun tuan rumah tetap tenang menghirup kopi seolah-olah sedang berada di taman bunga. Inilah yang kita panggil sebagai nose blind atau kebal bau. Masalahnya, adakah kita terlalu menyayangi haiwan itu sehingga sanggup hidup dalam keadaan yang menjijikkan dan tidak sihat?
Sikap “kebal” ini biasanya bermula apabila pemilik membiarkan kucing mereka membuang hajat merata-rata tanpa disiplin. Alasannya , “kesian sebab dia haiwan, mana dia tahu apa-apa.” Namun, hakikatnya, membiarkan rumah berbau hancing adalah satu bentuk pengabaian terhadap kualiti hidup manusia sendiri. Jika rumah yang sepatutnya menjadi tempat berehat sudah bertukar menjadi “tandas besar” untuk si bulu, di mana lagi letaknya maruah kita sebagai penghuni rumah yang berakal?
Lagi satu perangai atau behaviour yang sangat sukar diterima akal sihat adalah apabila kucing dibiarkan “bermaharajalela” di zon-zon larangan seperti dapur dan meja makan. Kita sering mendidik anak-anak dengan tegas supaya tidak meletakkan kaki di atas meja kerana itu adalah tempat suci untuk menyuap rezeki ke mulut. Kita mahu tempat makan itu bersih dan beradab. Namun, ironinya, ada pemilik yang dengan selamba membiarkan kucing yang baru sahaja keluar dari litter box berjalan-jalan di atas meja makan, malah ada yang sampai bertenggek di atas rak pinggan atau duduk di dalam kuali yang bakal digunakan untuk memasak.
Persoalannya, di mana logik akal kita? Kaki kucing itu mungkin nampak bersih pada mata kasar, tetapi secara mikroskopik, ia adalah “kenderaan” utama untuk kuman dan parasit. Kucing adalah pembawa bakteria berbahaya seperti Salmonella dan Campylobacter yang boleh menyebabkan keracunan makanan yang sangat teruk. Lebih menakutkan adalah ancaman parasit Toxoplasma gondii. Parasit ini boleh berpindah melalui sentuhan najis yang melekat pada tapak kaki kucing terus ke permukaan meja atau peralatan memasak kita. Bagi wanita hamil atau mereka yang mempunyai sistem imun rendah, ini adalah ancaman nyawa yang nyata, bukan sekadar cerita dongeng.
Selain itu, bayangkan bulu-bulu halus yang luruh setiap saat. Jika kucing dibiarkan duduk di dalam kuali atau di atas rak pinggan, sudah pasti ada helaian bulu yang akan melekat pada peralatan dapur tersebut. Adakah kita sanggup menjamu selera dengan hidangan yang bercampur dengan bulu dan kuman hanya kerana alasan “sayang kucing”? Ini bukan lagi tanda kecintaan kepada haiwan, tetapi ini adalah satu bentuk kegagalan dalam menjaga kebersihan asas dan keselamatan keluarga.
Obsesi yang melampau sehingga membiarkan haiwan menguasai setiap inci rumah,termasuk tempat penyediaan makanan menunjukkan hilangnya sempadan (boundaries) antara manusia dan haiwan peliharaan. Kita perlu sedar bahawa menyayangi kucing tidak bermakna kita perlu menjadi hamba kepada kotoran. Rumah manusia perlulah mengikut aturan manusia yang mementingkan kebersihan dan kesihatan. Jika kita boleh bertegas dengan anak sendiri tentang adab di meja makan, kenapa kita tidak boleh mengenakan peraturan yang sama kepada haiwan peliharaan?
Kesimpulannya, berhentilah menggunakan alasan “sayang” untuk menghalalkan gaya hidup yang pengotor. Kebersihan itu sebahagian daripada iman, dan tidak ada istilah “pencinta haiwan” jika rumah sendiri sudah menyerupai reban yang tidak terurus dan membahayakan kesihatan penghuninya. Kucing tetap kucing, mereka perlu dididik dan diletakkan di tempat yang sepatutnya agar keharmonian serta kesihatan seisi rumah tetap terpelihara.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.