Dengar playlist penuh di sini
.

Gaji lumayan. Tak perlu temu duga. Tak tahu pun nama syarikat dengan jelas. Tapi bila ditawarkan kerja di luar negara, terus sanggup terbang meninggalkan keluarga.
Nampak macam tak masuk akal, kan?
Namun itulah antara perangkap yang digunakan sindiket penipuan pekerjaan. Tawaran yang terlalu menarik boleh membuat seseorang teruja sehingga perkara asas seperti latar belakang syarikat, skop kerja dan proses pengambilan pekerja tidak lagi dipersoalkan.
PDRM sebelum ini mendedahkan sindiket penipuan pekerjaan semakin licik dan turut menawarkan pekerjaan di luar negara dengan gaji lumayan, faedah menarik serta prospek kerjaya yang lebih baik. Tawaran pula boleh menyasarkan pelbagai bidang, termasuk minyak dan gas, pertanian, kejururawatan dan pekerjaan buruh.
Lebih membimbangkan, ada tawaran yang kelihatan seperti peluang pekerjaan biasa tetapi sebenarnya membawa mangsa ke dalam situasi yang jauh lebih berbahaya.
Pada April lalu, PDRM memberi amaran mengenai sindiket yang menggunakan tawaran kerja bergaji lumayan dan jawatan menarik di luar negara untuk memperdayakan individu menjadi ‘keldai dadah’. Mangsa ada yang dijanjikan tiket penerbangan, penginapan dan bayaran lumayan untuk melakukan tugasan yang kononnya mudah.
Jadi, kenapa masih ada yang terpedaya?
Sebab sindiket tahu apa yang mahu didengar oleh orang yang sedang mencari kerja adalah “gaji besar”, “kerja mudah”, “tak perlu pengalaman” dan “semua sudah ditanggung”.
Lebih-lebih lagi jika seseorang sedang terdesak mencari pendapatan atau kurang pengetahuan tentang cara menyemak tawaran pekerjaan.
Kalau kita sendiri rasa tawaran itu macam terlalu cantik untuk jadi kenyataan, jangan malu untuk berhenti sekejap dan tanya orang yang kita percaya. Jangan kerana terlalu mengejar rezeki, kita terlupa untuk memastikan rezeki itu datang melalui jalan yang selamat. Kadang-kadang, sedikit rasa curiga dan beberapa minit membuat semakan boleh menyelamatkan kita daripada penyesalan yang jauh lebih besar.
Sebab itu, jangan terus percaya hanya kerana tawaran nampak terlalu bagus untuk dilepaskan.
Semak nama dan latar belakang syarikat. Tanya tentang lokasi kerja, kontrak, skop tugas dan proses pengambilan. Kalau semuanya terlalu mudah, terlalu lumayan dan terlalu tergesa-gesa, itu bukan masa untuk cepat-cepat teruja.
Itu masa untuk berhenti dan semak.
Kerja yang betul sepatutnya memberi peluang. Bukan membuat kita menyerahkan keselamatan kepada orang yang baru dikenali di media sosial.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.