Dengar playlist penuh di sini
.

Setiap kali menjelang Hari Raya, ramai yang mula mencari duit kecil untuk dijadikan duit raya. Ada yang sanggup beratur di bank, ada juga yang cuba mencari jalan lebih mudah melalui perkhidmatan “runner” yang menawarkan khidmat menukarkan duit raya.
Biasanya kita akan nampak iklan di media sosial. Ada yang menawarkan servis tukar duit raya dengan caj tertentu. Contohnya, pelanggan beri RM100 dan akan menerima duit kecil seperti RM1 atau RM5 yang sudah siap untuk diagihkan. Tetapi di sinilah timbul persoalan dalam kalangan masyarakat, boleh ke sebenarnya perkhidmatan ini?
Ada yang berpendapat ia tidak boleh kerana dianggap sebagai “duit atas angin”. Maksudnya, ada pihak mengambil keuntungan daripada pertukaran wang yang sepatutnya mempunyai nilai yang sama. Ada pula yang mengatakan ia sekadar upah kerana individu tersebut bersusah payah pergi ke bank, beratur dan menguruskan pertukaran duit bagi pihak orang lain.
Untuk memahami perkara ini, kita perlu melihat bagaimana transaksi itu dilakukan.
Situasi pertama – tidak dibenarkan.
Katakan seseorang memberikan RM100 untuk ditukarkan kepada duit kecil. Apabila duit itu dipulangkan, jumlahnya hanya RM98. Baki RM2 diambil oleh individu yang menukarkan duit tersebut sebagai “caj”.
Dalam keadaan ini, ia tidak dibenarkan. Ini kerana pertukaran wang yang sama jenis mestilah berlaku dengan nilai yang sama. Jika RM100 ditukar, jumlah yang diterima juga mestilah RM100. Mengambil sebahagian daripada jumlah tersebut boleh menimbulkan unsur riba, khususnya yang dikenali sebagai Riba al-Fadhl iaitu pertukaran barang yang sama jenis tetapi tidak sama kuantiti.
Situasi kedua – dibolehkan.
Seseorang memberikan RM100 untuk ditukar kepada duit RM1. Selepas ditukarkan di bank, individu tersebut memulangkan semula RM100 dalam bentuk 100 keping RM1 kepada pemilik wang.
Selepas itu barulah pemilik wang memberikan upah yang dipersetujui, contohnya RM5, sebagai bayaran kerana individu tersebut telah membantu menukar wang, pergi ke bank, beratur dan menguruskan proses tersebut.
Dalam situasi ini, ia dibenarkan kerana bayaran tersebut dianggap sebagai upah perkhidmatan atau wakil (runner), bukan caj untuk pertukaran wang itu sendiri. Contohnya, RM5 itu mungkin dianggap sebagai kos perjalanan, minyak kereta atau tambang Grab untuk ke bank.
Jadi dalam kes ini, tiada isu riba kerana pertukaran wang tetap berlaku pada nilai yang sama iaitu RM100 ditukar dan RM100 juga yang diterima kembali.
Perkara paling penting yang perlu diingat ialah jumlah wang yang ditukar mesti kekal sama. Jika RM100 diberikan, RM100 juga mesti dipulangkan dalam bentuk duit kecil.
Jika ada bayaran tambahan, ia hendaklah jelas sebagai upah perkhidmatan selepas pertukaran berlaku, bukan dipotong daripada jumlah wang yang ditukar.
Dalam kesibukan menyediakan duit raya, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dengan perkhidmatan seperti ini. Jangan sampai niat untuk memudahkan urusan bertukar menjadi perkara yang meragukan dari segi hukum.
Yang penting, tukar RM100, dapat semula RM100. Selebihnya, jika mahu memberi upah kepada orang yang membantu, itu dibolehkan selagi jelas niatnya sebagai bayaran perkhidmatan.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.