Dengar playlist penuh di sini
.

Kalau sebut nama Sharifah Aini, generasi yang membesar dengan lagu-lagu Melayu lama mungkin terus terbayang seorang wanita dengan suara merdu, penuh lenggok dan cukup tersendiri.
Namun, pernah tak terfikir kenapa Allahyarham Datuk Sharifah Aini bukan sekadar dikenali sebagai penyanyi terkenal, tetapi dianugerahkan gelaran Biduanita Negara?
Bukan kerana satu dua lagu popular semata-mata.
Sharifah Aini atau lebih mesra dipanggil Kak Pah dilahirkan pada 2 Julai 1953 di Singapura dan dibesarkan di Johor Bahru.
Bakat menyanyi sebenarnya sudah terserlah sejak kecil. Pada 1969, beliau menyertai pertandingan nyanyian anjuran Radio dan Televisyen Singapura (RTS) dan berjaya mendapat tempat kedua.
Dari situlah perjalanan seninya mula berkembang sehingga beliau menjadi antara nama paling besar dalam muzik Melayu.
Apa yang menarik tentang Kak Pah ialah jangka hayat kerjayanya yang begitu panjang.
Beliau bukan muncul sekejap, menghasilkan beberapa lagu popular kemudian menghilang.
Sebaliknya, beliau terus berkarya selama lebih empat dekad.
Sepanjang kerjaya, beliau merakamkan puluhan album dan menghasilkan begitu banyak lagu yang menjadi sebahagian daripada memori masyarakat Melayu. Antara lagu yang sering dikaitkan dengan namanya termasuk Seri Dewi Malam, Hapuslah Air Matamu, Bunga Tanjung dan Kau Tinggi Di Awan Biru.
Suaranya pula sering digambarkan sebagai mempunyai lenggok yang tersendiri, sebab itu bila Kak Pah menyanyi, orang boleh cam.
Kak Pah juga membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
Beliau pernah menyertai pertandingan lagu di peringkat Asia Pasifik dan mencipta nama sebagai penyanyi yang bukan hanya dikenali di tanah air.
Dalam masa sama, beliau turut mencuba bidang lakonan dan muncul dalam beberapa filem seperti Hapuslah Air Matamu, Sumber Ilhamku dan Bintang Pujaan.
Jadi, dunia seninya bukan terhad kepada mikrofon sahaja.
Pada 2006, selepas kira-kira empat dekad dalam industri muzik, Sharifah Aini menerima gelaran Biduanita Negara sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian, jasa dan sumbangannya kepada muzik Malaysia.
Gelaran itu juga meletakkan beliau dalam kelompok tokoh seni wanita paling dihormati negara. Sebelum beliau, gelaran tersebut pernah diberikan kepada Allahyarhamah Puan Sri Saloma pada 1978.
Kak Pah kemudian terus berkarya sehingga akhir hayatnya sebelum meninggal dunia pada 5 Julai 2014, pada usia 61 tahun.
Hari ini, mungkin ramai generasi muda tidak pernah melihat Kak Pah beraksi secara langsung.
Tetapi apabila lagu-lagu lamanya masih dimainkan dan namanya masih disebut sebagai antara legenda muzik tanah air, jelas satu perkara … gelaran Biduanita Negara itu datang bersama perjalanan seni yang panjang dan legasi yang terus hidup.
Dan mungkin itu sebabnya, bagi generasi yang pernah membesar dengan suara Kak Pah, mendengar satu rangkap lagunya sahaja pun sudah cukup untuk membawa mereka kembali ke zaman dulu-dulu.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.