Dengar playlist penuh di sini
.
“Acik, tengoklah Dato tu. Dia sendiri melabur ratus-ratus ribu. Sekarang dah jadi jutawan. Takkanlah dia nak tipu kita?” Ayat macam inilah yang kadang-kadang cukup untuk membuatkan seseorang percaya kepada satu skim pelaburan. Mula-mula nampak posting di Facebook, kemudian masuk group WhatsApp atau Telegram dan melihat orang lain berkongsi screenshot keuntungan. Ada pula yang siap tunjuk kereta mewah, rumah banglo dan gambar bercuti ke luar negara. Semuanya nampak seperti bukti bahawa pelaburan tersebut memang menjadi.
Acik yang selama ini menyimpan duit sedikit demi sedikit mula terfikir, “Kalau betul boleh kaya macam ni, kenapa aku tak cuba?” Mula-mula masukkan RM5,000. Kemudian RM10,000. Bila nampak angka dalam akaun kononnya semakin bertambah, keyakinan pun semakin tinggi. Agent pula mula memujuk supaya tambah modal kerana katanya, semakin banyak modal, semakin besar keuntungan. Akhirnya duit simpanan dikeluarkan, duit pencen dan KWSP pula digunakan. Semuanya kerana satu impian , nak cepat kaya.
Masalahnya, kita terlalu mudah percaya kepada seseorang hanya kerana dia nampak kaya. Kereta mahal, rumah besar dan percutian mewah dianggap sebagai bukti kejayaan. Padahal, gaya hidup seseorang langsung bukan bukti bahawa pelaburan yang ditawarkannya itu sah atau menguntungkan. Dalam sesetengah skim penipuan seperti Ponzi, peserta awal memang boleh menerima bayaran menggunakan wang daripada peserta yang masuk kemudian. Sebab itu orang yang masuk awal nampak seperti benar-benar berjaya dan mereka pula menjadi “bukti” untuk menarik lebih ramai orang.
Bila semakin ramai orang masuk, semuanya nampak lancar. Tetapi apabila duit baharu mula berkurang, pengeluaran mula tersekat. Mula keluar alasan, “Sistem tengah maintenance”, “Bank ada masalah”, “Tunggu beberapa hari lagi.” Lama-lama agent tak balas mesej. Group senyap. Website tak boleh dibuka. Dato yang dulu sibuk menunjukkan kehidupan mewah pun tiba-tiba hilang.
Ketika itu baru mangsa sedar, duit yang dilaburkan bukan duit lebihan. Itu duit yang dikumpul bertahun-tahun. Duit pencen. Duit KWSP. Duit untuk hari tua.
Sebab itu jangan jadikan kereta mewah atau rumah banglo seseorang sebagai bukti pelaburan itu selamat. Gambar bercuti bukan penyata kewangan, dan kereta mahal bukan lesen pelaburan.
Nak melabur tidak salah. Nak kaya pun tidak salah. Tetapi sebelum masukkan duit, semak dahulu siapa yang menawarkan, bagaimana keuntungan dijana dan sama ada skim tersebut benar-benar sah. Jangan kerana takut terlepas peluang, kita serahkan hampir seluruh simpanan kepada orang yang pandai bercakap.
Sebab bila semuanya hilang, Dato mungkin masih boleh hidup mewah.
Yang tinggal pada kita mungkin cuma screenshot baki akaun dan penyesalan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.