Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengretro_master

Smart Shop: Ingat Tak Dulu Shopping Dari Depan TV?

Ingat lagi zaman telefon rumah jadi alat checkout? Tengok barang di TV, salin nombor, telefon dan tunggu barang sampai.
call center, headset, woman, service, consulting, information, conversation, continents, global, international, headphones, phone, help, call, corporate, booking, make a phone call, pc, call center, call center, call center, call center, call center, service, service, service, call

Kalau anda membesar pada era 1990-an, bunyi telefon berdering di kaca TV bersama suara penuh semangat menjual produk mungkin masih terngiang-ngiang sampai sekarang.

Sebelum ada Shopee, Lazada atau TikTok Shop, kita sebenarnya sudah kenal konsep beli-belah dari rumah menerusi satu segmen ikonik iaitu Smart Shop.

Bersiaran di televisyen termasuk TV3, Smart Shop hadir dalam bentuk infomercial yang memaparkan demonstrasi produk dengan penuh yakin dan bertenaga. Produk yang biasa-biasa pun boleh nampak macam satu penemuan yang bakal mengubah hidup.

Dengan alih suara bahasa Melayu yang kadang-kadang cukup dramatik, penonton diperlihatkan macam-macam “penyelesaian ajaib” untuk masalah harian.

Kemudian tibalah bahagian paling penting … nombor hotline muncul besar di skrin, lengkap dengan ajakan supaya penonton segera membuat tempahan.

Antara produk yang mudah melekat dalam ingatan termasuk Smart Mop, kuali pemanggang ajaib, alatan senaman seperti Ab Roller atau Ab Shaper serta pelbagai peralatan dapur multifungsi.

Tengok demonstrasi Smart Mop sahaja pun sudah cukup buat kita terfikir, “Aku nak satu!”

Yang menariknya, Smart Shop bukan sekadar membuat orang dewasa teruja. Kanak-kanak pun kadang-kadang boleh terpengaruh.

Ada yang sanggup curi-curi mencapai telefon rumah dan mendail nombor hotline kerana terlalu teruja dengan produk atau mainan yang dilihat di TV.

Masalahnya, telefon rumah zaman itu bukan macam telefon bimbit sekarang. Tak boleh tengok sejarah panggilan dan padam sesuka hati.

Hujung bulan, bil telefon sampai.

Dan bermulalah sesi soal siasat.

“Siapa yang telefon nombor ni?”

Haa… masa itu barulah rasa menyesal datang.

Apabila internet semakin berkembang pada awal era 2000, format Smart Shop mula kurang kelihatan di televisyen. Tetapi konsepnya sebenarnya tidak pernah mati.

Demonstrasi produk, testimoni, tawaran terhad dan ayat yang membuatkan kita rasa perlu membeli sekarang.. semuanya masih wujud, cuma platformnya sudah berubah.

Daripada televisyen dan telefon rumah, kini semuanya berpindah ke telefon pintar, media sosial dan live selling.

Bezanya, dulu kita tunggu Smart Shop muncul di TV.

Sekarang, iklan dan jualan produk pula yang datang mencari kita.

Bagi generasi 90-an, Smart Shop mungkin cuma rancangan jual barang. Tetapi dalam diam, ia menjadi sebahagian daripada memori zaman kecil… televisyen di ruang tamu, telefon rumah dan suara iklan yang sampai hari ini pun kita masih boleh tiru.

Barangnya mungkin sudah lama dilupakan.

Tapi kenangan menontonnya? Itu yang susah nak hilang.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.