Dengar playlist penuh di sini
.
Ada tak suami yang kalau makan sedap-sedap di luar, sengaja tak beritahu isteri?
Bukan sebab tak sayang. Bukan sebab ada apa-apa rahsia besar. Tetapi sebab dia sudah boleh agak apa yang akan berlaku kalau isteri tahu.
“Abang makan apa?”
“Wah, sedapnya. Kenapa tak belikan untuk saya?”
“Kirimm!”
Dan di situlah masalahnya.
Makanan yang asalnya RM15 untuk diri sendiri tiba-tiba boleh jadi RM50 apabila isteri mula kirim untuk anak-anak sekali. Belum masuk minuman, pencuci mulut dan makanan kegemaran masing-masing.
Akhirnya suami fikir, “Baik aku diam.”
Jadi dia makan ayam penyet seorang diri di kedai. Balik rumah, bila isteri tanya makan apa, jawab ringkas, “Makan biasa je.”
Ada juga yang lebih ekstrem. Gambar makanan sedap jangan sesekali masuk WhatsApp family. Kalau masuk, habis.
“Abang kat mana?”
“Dekat kedai.”
“Makan apa?”
“Tak ada apa.”
Padahal atas meja ada steak, burger special atau nasi kandar kuah banjir.
Sebenarnya, perangai macam ini mungkin nampak kelakar, tetapi memang ada pasangan yang mempunyai craving masing-masing. Bukan semestinya kerana kedekut. Kadang-kadang mereka cuma mahu menikmati sesuatu untuk diri sendiri tanpa rasa bersalah.
Tetapi persoalannya, kenapa sampai perlu sorok?
Mungkin sebab dalam keluarga, apabila seseorang keluar makan, secara automatik dia dianggap perlu fikirkan semua orang di rumah. Kalau suami makan sesuatu yang sedap seorang diri, dia mungkin rasa bersalah kalau isteri dan anak tahu.
Sedangkan sekali-sekala, tidak salah pun seseorang membeli makanan untuk diri sendiri.
Begitu juga dengan isteri. Takkan setiap kali isteri pergi minum kopi mahal dengan kawan, mesti suami perlu dapat satu?
Namun kalau sampai setiap kali keluar makan perlu menipu, itu mungkin menunjukkan sesuatu tentang cara pasangan berkomunikasi mengenai duit dan keperluan masing-masing.
Mungkin lebih mudah kalau dari awal pasangan bersetuju dan discuss tentang bajet keluarga, dan bajet peribadi.
Jadi suami boleh makan makanan kegemarannya tanpa rasa bersalah, dan isteri pun boleh beli sesuatu untuk dirinya tanpa perlu rasa semuanya mesti dikongsi.
Sebab dalam rumah tangga, bukan semua benda perlu dikongsi. Tapi janganlah buat selalu, sekali-sekala simpan sikit duit bawak isteri pulak makan sedap-sedap sama-sama. Banyak pahala bahagiakan isteri tau.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.