Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengapasaja_master

Tidur Lepas 9 Malam, Betul Ke Anak Hilang Hormon Tumbesaran?

Hormon tumbesaran banyak dilepaskan ketika anak tidur nyenyak dan pengeluaran hormon ini biasanya lebih tinggi pada bahagian awal tempoh tidur.

“Dah pukul 9 malam! Cepat tidur!”

Bagi ramai ibu bapa, pukul 9 malam seolah-olah satu deadline. Ada pula dakwaan yang mengatakan kalau anak masih berjaga selepas waktu itu, mereka akan terlepas hormon tumbesaran dan proses “membersihkan” otak ketika tidur.

Sebab itu ada ibu bapa yang mula rasa bersalah apabila anak tidur pukul 9.30 atau 10 malam.

Tapi betulkah tubuh anak ada ‘cut-off time’ tepat pukul 9 malam?

Tak semudah itu ya..

Hormon tumbesaran bukan ikut jam dinding.

Memang benar, tidur sangat penting untuk pertumbuhan kanak-kanak. Hormon tumbesaran banyak dilepaskan ketika anak berada dalam fasa tidur yang nyenyak dan pengeluaran hormon ini biasanya lebih tinggi pada bahagian awal tempoh tidur.

Namun, ia bukan bermaksud hormon tersebut hanya akan keluar jika anak sudah lelap sebelum pukul 9 malam.

Maksudnya, anak yang tidur selepas 9 malam tidak semestinya kehilangan peluang untuk menghasilkan hormon tumbesaran.

Apa yang lebih penting ialah tidur yang mencukupi dan berkualiti.

Tidur bukan sekadar masa badan “berehat”.

Ketika tidur, otak terus menjalankan pelbagai proses penting termasuk membantu mengukuhkan memori, pembelajaran dan pemulihan. Tidur juga dikaitkan dengan proses pembersihan bahan buangan metabolik tertentu daripada otak.

Jadi, ya tidur memang sangat penting untuk perkembangan otak anak.

Tetapi sekali lagi, ia bukan bermaksud otak mempunyai suis yang akan mula “dibersihkan” tepat pada pukul 9 malam.

Jadi, berapa lama anak perlu tidur?

Keperluan tidur bergantung pada umur.

Kanak-kanak 3–5 tahun: 10–13 jam sehari
Kanak-kanak 6–12 tahun: 9–12 jam sehari
Remaja: 8–10 jam sehari

Jadi, kalau anak tidur pukul 9.30 malam tetapi bangun pada waktu yang sesuai dan mendapat jumlah tidur yang mencukupi, itu tidak sama dengan mengatakan dia sudah “terlepas” hormon tumbesaran.

Begitu juga, tidur awal tetapi kerap berjaga malam atau tidak cukup tidur tetap bukan keadaan yang ideal.

Akhirnya, perkara yang lebih penting daripada mengejar angka 9 malam ialah memastikan anak mempunyai rutin tidur yang konsisten, tempoh tidur yang mencukupi dan tidur yang berkualiti.

Jadi kalau malam ini anak masih belum tidur pada pukul 9.05 malam, jangan terus panik.

Tubuh anak tidak bekerja mengikut jam dinding. Yang penting, jangan abaikan keperluan tidurnya.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.