Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Tidur Sebelum 9 Malam: Kaedah Capai Tinggi Maksimum Anak

Hormon pertumbuhan paling aktif sekitar jam 10 malam hingga tengah malam iaitu apabila kanak-kanak berada dalam keadaan tidur nyenyak.

Setiap ibu bapa mahu anak mereka membesar dengan sihat, cergas dan tinggi. Kita pastinya memberi perhatian kepada pemakanan seimbang, suplemen, dan aktiviti fizikal. Tapi ada satu faktor yang sering diabaikan, waktu tidur.

Kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang tidur lewat selepas pukul 9 malam berisiko tidak mencapai potensi ketinggian maksimum walaupun mendapat nutrisi secukupnya.

Hormon penting keluar waktu tidur malam

Tidur bukan sekadar rehat. Pada waktu tidur terutama tidur malam yang nyenyak, tubuh menghasilkan hormon pertumbuhan atau growth hormone (GH). Hormon inilah yang bertanggungjawab untuk:

  • Pertumbuhan tulang panjang
  • Pembinaan otot
  • Pemulihan tisu dan sel
  • Menyokong kesihatan organ secara keseluruhan

Hormon pertumbuhan ini paling aktif sekitar jam 10 malam hingga tengah malam iaitu apabila kanak-kanak berada dalam keadaan tidur nyenyak (deep sleep). Jika tidur lewat, penghasilan hormon ini berkurangan walaupun anak makan banyak dan sihat.

Tidur Lewat vs Potensi Tinggi

Kanak-kanak yang tidur selepas pukul 9 malam mungkin menghadapi beberapa cabaran:

  1. Kurang waktu tidur nyenyak – Badan tidak sempat menghasilkan cukup hormon pertumbuhan.
  2. Gangguan kitaran biologi – Tubuh manusia mengikuti circadian rhythm. Jadi tidur lewat mengganggu jadual semula jadi badan termasuk metabolisme dan hormon.
  3. Kurang tenaga dan fokus – Tidur lewat menyebabkan anak cepat letih, kurang aktif dan kurang terdedah kepada aktiviti fizikal yang menyokong pertumbuhan tulang.

Kesannya, walaupun diet anak lengkap dengan protein, kalsium, vitamin D, dan zat besi, pertumbuhan tulang dan ketinggian mungkin tidak optimum.

Tip Untuk Pastikan Anak Tidur Awal
  1. Tetapkan rutin tidur – Waktu tidur tetap setiap malam, idealnya sebelum pukul 9.
  2. Kurangkan skrin sebelum tidur – Telefon, tablet atau televisyen boleh mengganggu hormon melatonin, hormon yang bantu tidur.
  3. Ciptakan suasana selesa – Bilik gelap, suhu selesa dan tilam yang nyaman membantu anak tidur nyenyak.
  4. Aktiviti fizikal siang hari – Anak yang aktif lebih mudah tidur awal dan nyenyak.
  5. Makan malam ringan dan awal – Elak makanan berat atau terlalu manis sebelum tidur.
Waktu tidur anak adalah waktu ‘kilang’ dibuka untk hormon pertumbuhan bekerja

Ramai ibu bapa memberi tumpuan kepada makanan sihat tetapi lupa bahawa tidur adalah ‘bahan bakar’ untuk pertumbuhan. Bayangkan hormon pertumbuhan seperti pekerja kilang. Jika kilang tidak dibuka pada waktu sepatutnya, pekerja tidak dapat menghasilkan produk dengan optimum. Begitu juga tubuh anak apabila tidur tidak mencukupi.

Selain ketinggian, tidur yang mencukupi juga menyokong daya ingatan, mood, imunisasi, dan kesihatan mental anak. Jadi, tidur awal bukan saja untuk tinggi tetapi untuk kesihatan menyeluruh.

Kunci utama adalah waktu tidur

Tidur selepas pukul 9 malam mungkin nampak biasa tetapi ia memberi kesan besar kepada pertumbuhan ketinggian kanak-kanak. Nutrisi penting tetapi tidur nyenyak adalah kunci agar tubuh anak menghasilkan hormon pertumbuhan dengan optimum.

Untuk memastikan anak mencapai potensi tinggi dan kesihatan yang baik, ibu bapa perlu mengutamakan rutin tidur yang teratur, sama pentingnya dengan memberi makanan sihat dan aktiviti fizikal yang cukup.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.