Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengsihat_master

Timbul VS Tenggelam? Kenal Pasti Najis Anda Yang Mana Satu

Bunyinya geli tetapi keadaan najis boleh memberi gambaran awal tentang kesihatan usus dan sistem penghadaman yang ramai tidak sedari.

Jangan risau, artikel ini bukan bertujuan membuatkan anda hilang selera makan.

Tetapi cuba fikir sekejap. Setiap kali selepas membuang air besar, adakah anda terus menekan butang flush tanpa sempat menjeling apa yang tertinggal di dalam mangkuk tandas?

Kalau ya, mungkin sudah tiba masanya anda melihatnya beberapa saat lebih lama. Bukan sebab pelik tetapi kerana najis sebenarnya boleh memberi petunjuk tentang keadaan sistem penghadaman anda.

Secara umumnya, najis yang sihat sepatutnya tenggelam, berwarna coklat dan berbentuk padu. Ini menunjukkan makanan dihadam dengan baik, badan mendapat air dan serat yang mencukupi, manakala bakteria baik dalam usus menjalankan tugasnya seperti yang sepatutnya.

Tetapi bagaimana pula kalau najis anda terapung?

Jangan panik dulu.

Kalau ia berlaku sekali-sekala, lebih-lebih lagi selepas menikmati makanan yang tinggi lemak seperti kari, ayam goreng atau burger, biasanya ia bukan sesuatu yang membimbangkan. Kadang-kadang kandungan gas atau perubahan sementara dalam proses pencernaan boleh menyebabkan najis terapung.

Namun, ceritanya berbeza jika setiap kali membuang air besar, najis sentiasa terapung, disertai bau yang sangat kuat, kelihatan berminyak atau sukar untuk flush.

Keadaan ini mungkin menandakan terdapat terlalu banyak lemak di dalam najis, atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai steatorrhea.

Ini berlaku apabila badan tidak menyerap lemak dengan baik. Antara puncanya termasuk penyakit seperti celiac, Crohn’s disease atau masalah pada pankreas yang tidak menghasilkan enzim pencernaan yang mencukupi untuk memecahkan lemak.

Akibatnya, lemak yang sepatutnya diserap oleh badan akan keluar bersama najis.

Jadi, adakah najis terapung itu sentiasa berbahaya?

Tidak semestinya.

Yang lebih penting ialah coraknya. Jika ia berlaku sekali-sekala tanpa sebarang simptom lain, kebiasaannya tidak perlu terlalu risau. Tetapi jika ia berlarutan selama beberapa minggu, disertai penurunan berat badan tanpa sebab, sakit perut yang berpanjangan, najis berdarah atau najis berwarna hitam, jangan bertangguh untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.

Percayalah, doktor sudah melihat perkara yang jauh lebih “mencabar” daripada cerita tentang najis. Jadi, tidak perlu malu untuk mendapatkan nasihat.

Selepas ini jangan terus flush sebaik sahaja selesai. Jelinglah sekejap ke dalam mangkuk tandas.

Kadang-kadang, beberapa saat yang mungkin terasa “geli” itu sebenarnya mampu memberi petunjuk awal tentang kesihatan usus anda.

Lagipun, bukan selalu kita dapat peluang “menilai hasil kerja” sistem penghadaman sendiri.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.