Dengar playlist penuh di sini
.
Ada orang kalau nama susah disebut, kita cuba belajar sampai betul. Tapi kalau sampai nama seseorang dijadikan bahan sindiran, itu ceritanya lain pula.
Itulah yang berlaku kepada Abdul El-Sayed, ahli politik Amerika Syarikat yang baru sahaja mencipta sejarah apabila memenangi kerusi Senat mewakili Michigan.
Bukan calang-calang pencapaian kerana beliau bakal menjadi Muslim pertama yang berkhidmat sebagai Senator Amerika Syarikat.
Namun apa yang lebih mencuri perhatian ialah cara beliau membalas sindiran Presiden Donald Trump yang sebelum ini pernah mempersendakan namanya.
Sepanjang kempen pilihan raya, nama El-Sayed bukan sahaja menjadi sebutan kerana perjuangan politiknya malah turut menjadi bahan sindiran Trump.
Trump pernah mempersoalkan namanya dan mengaitkan identiti Muslim beliau dengan isu keselamatan.
Tetapi El-Sayed nampaknya tidak berminat untuk melayan sindiran itu dengan emosi.
Sebaliknya, ketika berucap meraikan kemenangannya, beliau sempat menyampaikan satu ayat yang membuatkan penyokong bersorak.
Beliau terlebih dahulu menyapa Naib Presiden JD Vance dengan panggilan ‘habibi’, sebelum mengalihkan perhatian kepada Trump.
Katanya, beliau tahu Trump selama ini agak sukar menyebut namanya.
Jadi selepas JD Vance mengangkat sumpahnya sebagai Senator pada Januari 2027 nanti, Trump tidak perlu pening kepala lagi.
“Donald, look, I know you struggled with my name. So after JD swears me in in January, you can just go on and call me Senator.”
Haa, mudah sahaja penyelesaiannya!
Kalau nama El-Sayed susah sangat hendak disebut, panggil sahaja Senator.
Tak perlu buka Google, tak perlu latihan sebutan dan tak perlu minta orang lain eja. Cukup dengan satu gelaran!
Di sebalik jawapan bersahaja itu, kemenangan El-Sayed membawa makna yang jauh lebih besar.
Bayangkan, seorang lelaki berketurunan Mesir dan beragama Islam yang namanya pernah dijadikan bahan sindiran kini bakal melangkah ke Senat Amerika Syarikat.
Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh tentang ibu bapa yang terpaksa menjelaskan kepada anak-anak mengapa seorang presiden mempersendakan nama atau cara seseorang beribadat.
Beliau mahu mereka memberitahu anak-anak bahawa kebencian bukanlah pemenang dalam pilihan raya ini.
El-Sayed sendiri mempunyai latar belakang sebagai doktor dan bekas pegawai kesihatan awam. Antara isu yang diperjuangkannya termasuk kos sara hidup, akses kepada penjagaan kesihatan dan pengaruh wang besar dalam politik.
Apa pun pandangan terhadap politik Amerika, satu perkara yang boleh kita ambil daripada kisah ini ialah jangan terlalu cepat mengukur kemampuan seseorang melalui nama, rupa atau latar belakangnya.
Kadangkala orang yang kita pandang sebelah mata itulah yang akhirnya membuktikan sesuatu yang tidak pernah kita jangka.
Dan untuk Trump, selepas ini bolehlah simpan tenaga.
Tak perlu susah-susah sebut nama panjang.
Just call him Senator!

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.