Dengar playlist penuh di sini
.

Siapa pernah kena ulser mulut, tahulah betapa seksanya benda kecil ini. Saiz mungkin lebih kecil daripada biji kacang tapi pedihnya boleh buat kita termenung lama depan pinggan. Nak makan pedih, nak minum pun rasa perit. Kadang-kadang bercakap pun rasa macam ada jarum cucuk dalam mulut.
Bila ulser mulut muncul, macam-macam petua lama akan keluar. Antara yang paling popular ialah letak garam terus atas ulser. Kononnya nak bagi luka cepat kering.
Masalahnya, petua ini sebenarnya bukan idea yang baik.
Ulser mulut biasanya muncul di bahagian dalam pipi, lidah, gusi atau bibir. Puncanya pula macam-macam.
Kadang-kadang ia berlaku sebab tergigit pipi sendiri masa makan. Ada juga yang terjadi sebab berus gigi terlalu kuat sampai luka sedikit. Luka kecil ini kemudian bertukar jadi ulser.
Selain itu, stres pun boleh jadi penyebab. Bila badan penat dan tekanan tinggi, sistem imun jadi lemah. Masa itulah ulser mulut suka “menyelit masuk”.
Kekurangan nutrien seperti vitamin B12, zat besi atau asid folik juga boleh memainkan peranan. Sebab itu ada orang yang kerap sangat kena ulser walaupun rasa macam tak buat apa-apa.

Ramai orang percaya bila letak garam atas ulser, luka itu akan cepat sembuh. Hakikatnya, yang berlaku biasanya cuma satu..mulut terus pedih macam kena cabar makan cili padi.
Garam yang diletakkan terus pada ulser boleh menyebabkan iritasi pada tisu luka. Bukannya mempercepatkan sembuh, kadang-kadang ia buat kawasan sekitar ulser jadi lebih sensitif.
Pendek kata, ulser itu sudah sedia pedih. Tak perlu tambah “drama” lagi dengan garam.
Kalau ulser mulut datang menyerang, ada beberapa cara yang lebih baik untuk mengurangkan rasa sakit.
Pertama, boleh berkumur dengan air garam suam. Ya, masih guna garam tapi bukan letak terus pada luka. Air garam membantu membersihkan mulut dan mengurangkan bakteria.

Kedua, gunakan gel atau ubat ulser mulut yang boleh dibeli di farmasi. Ubat ini biasanya membantu melindungi luka dan mengurangkan rasa pedih.
Selain itu, cuba elakkan makanan pedas, masam atau terlalu keras buat sementara waktu. Makan benda seperti ini ketika ada ulser memang ibarat “menuang minyak ke api”.
Dan yang paling penting, jaga kebersihan mulut. Berus gigi secara lembut dan pastikan mulut sentiasa bersih supaya luka cepat sembuh.
Kebanyakan ulser mulut akan hilang sendiri dalam masa seminggu hingga dua minggu. Tapi kalau ulser terlalu besar, sangat sakit, kerap muncul atau tak sembuh selepas dua minggu, lebih baik jumpa doktor.
Kadang-kadang ulser yang berlarutan boleh menjadi tanda masalah kesihatan lain.
Ulser mulut mungkin kecil tapi kesannya boleh buat mood makan terus hilang. Walaupun ramai masih guna petua letak garam terus pada ulser, sebenarnya cara itu tidak digalakkan.
Lebih baik guna cara yang lebih selamat seperti berkumur air garam suam, gunakan ubat yang sesuai dan jaga kebersihan mulut.
Dan kalau ulser datang lagi nanti, ingat satu perkara….mulut sudah pedih, tak perlu tambah pedih dengan garam lagi.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.