Dengar playlist penuh di sini
.
Bagi generasi Millennial, perjalanan membesar bukan sekadar tentang bermain di padang atau menonton kartun di hujung minggu. Sebaliknya, memori kita kuat terpahat dengan debaran “Tahun Keramat” yang datang berselang-seli. Seawal usia 12 tahun, kita sudah diajar bahawa masa depan ditentukan oleh helaian kertas peperiksaan, bermula dengan UPSR, kemudian PMR, dan kemuncaknya adalah SPM.
Peperiksaan UPSR boleh dianggap sebagai benchmark pertama dalam hidup. Masuk sahaja darjah enam, suasana sekolah berubah menjadi tegang. Kelas tambahan bermula seawal pagi hingga lewat petang, malah ada yang bersambung ke malam di pusat tuisyen. Tekanan paling besar bukan datang daripada soalan Matematik atau Sains, tetapi daripada harapan ibu bapa. Masa itu, keputusan 5A adalah “tiket” emas. Ia menjadi kayu ukur untuk membandingkan anak siapa yang paling pandai di kalangan saudara-mara atau jiran tetangga.
Siapa yang dapat 5A, dialah wira keluarga. Nama akan naik di kain rentang sekolah dan yang paling penting, peluang untuk masuk ke sekolah berasrama penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terbuka luas. Bagi yang tidak berjaya, rasa rendah diri itu sangat tebal, seolah-olah impian untuk berjaya sudah tertutup separuh jalan walaupun usia baru setahun jagung.
Debaran itu tidak berhenti di situ. Masuk ke Tingkatan 3, kita berhadapan pula dengan PMR. Walaupun ia sering dianggap sebagai “peperiksaan antara,” debarannya tetap terasa kerana ia menentukan aliran mana yang bakal kita ambil di Tingkatan 4. Sama ada layak masuk Aliran Sains atau terpaksa masuk Aliran Sastera, semuanya bergantung kepada berapa banyak ‘A’ yang mampu dikutip. Millennial waktu itu sangat faham betapa besarnya stigma masyarakat terhadap mereka yang tidak masuk Aliran Sains.
Kemuncaknya sudah tentulah SPM di Tingkatan 5. Ini adalah “ibu” kepada segala peperiksaan. Bagi Millennial, SPM adalah penentu hidup dan mati untuk mendapatkan biasiswa atau tempat di universiti awam. Kita belajar dalam keadaan takut; takut tidak dapat straight A, takut tidak dapat sambung belajar, dan takut mengecewakan harapan besar keluarga yang sudah melabur banyak untuk pendidikan kita.
Zaman Millennial adalah zaman di mana sistem pendidikan kita sangat berorientasikan peperiksaan. Kita dibesarkan dengan kepercayaan bahawa kejayaan akademik adalah satu-satunya jalan untuk keluar daripada kesusahan hidup. Walaupun sistem itu membina ketahanan mental yang kuat, ia juga meninggalkan parut emosi yang dalam tentang erti persaingan. Namun jika dikenang semula, itulah memori yang menyatukan kita sebagai satu generasi yang gigih berjuang demi sekeping slip keputusan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.