Dengar playlist penuh di sini
.
Pernah terfikir kenapa ada wanita yang mampu mencapai orgasme atau klimaks berkali-kali dalam satu sesi hubungan intim, sedangkan kebanyakan lelaki biasanya memerlukan masa untuk kembali mencapai klimaks selepas sekali ejakulasi?
Rupa-rupanya perbezaan ini ada kaitan dengan cara tubuh lelaki dan wanita bertindak balas selepas mencapai kemuncak rangsangan seksual.
Secara fisiologi sesetengah wanita mempunyai keupayaan untuk mengalami orgasme berulang kali kerana tubuh mereka tidak semestinya memerlukan tempoh pemulihan yang panjang selepas klimaks pertama.
Selepas orgasme, seseorang wanita mungkin masih berada dalam keadaan terangsang. Jika rangsangan berterusan dan tubuhnya selesa menerimanya, dia berpotensi mencapai orgasme sekali lagi. Fenomena ini dikenali sebagai multiple orgasms.
Namun, bukan semua wanita mengalaminya. Ada wanita yang hanya mencapai orgasme sekali, ada yang tidak mengalaminya setiap kali bersama pasangan malah ada juga yang memerlukan masa lebih panjang untuk mencapai klimaks.
Bagaimana pula dengan lelaki?
Kebanyakan lelaki mengalami satu fasa yang dikenali sebagai refractory period atau tempoh pemulihan selepas orgasme dan ejakulasi.
Dalam tempoh ini tubuh lelaki biasanya memerlukan masa sebelum boleh kembali mengalami ereksi dan mencapai orgasme. Ada yang pulih dalam beberapa minit manakala ada yang memerlukan masa lebih lama.
Tempoh ini juga boleh berbeza mengikut individu dan usia. Sebab itulah tidak semestinya seorang lelaki boleh terus melakukan hubungan intim atau mencapai klimaks sekali lagi sejurus selepas ejakulasi.
Menariknya lelaki juga sebenarnya boleh mengalami orgasme berkali-kali dalam satu sesi tetapi keadaan ini jauh lebih jarang berlaku. Ada lelaki yang mampu mengalaminya tanpa ejakulasi pada setiap orgasme namun fenomena ini masih belum banyak dikaji secara mendalam.
Satu lagi perkara yang menarik untuk difahami ialah orgasme dan ejakulasi bukanlah perkara yang sama dari sudut fisiologi, walaupun kedua-duanya lazimnya berlaku serentak pada lelaki.
Jadi perbezaan ini bukan bermaksud wanita mempunyai tahap keinginan seksual yang lebih tinggi atau lelaki kurang bertenaga. Ia lebih kepada perbezaan tindak balas biologi setiap tubuh.
Paling penting, hubungan intim bukan pertandingan untuk melihat siapa paling banyak mencapai klimaks. Kepuasan, keselesaan, komunikasi dan persefahaman antara pasangan jauh lebih penting daripada membandingkan kemampuan tubuh masing-masing.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.