Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengfamili_master

Wanita Dan Trend Fesyen Hari Ini, Patut Ke Suami Masuk Campur

Ada wanita yang mungkin sedang "sakit" secara rohani. Keinginan melampau untuk dipuji, dilihat cantik dan mendapat perhatian (attention seeking), betul?

Dalam keghairahan mengejar trend fesyen media sosial yang kian mencabar logik akal, kita semakin kerap dihidangkan dengan satu fenomena yang amat merisaukan, iaitu ramai wanita berhijab tetapi berpakaian “body hugging” atau melekat pada tubuh. Baju kurung dan dress raya yang sepatutnya menjadi simbol kesopanan kini diubah suai sehingga setiap inci lekuk tubuh terpampang jelas kepada umum. Persoalannya, di manakah peranan suami sebagai pemimpin yang sepatutnya menjadi benteng dan pelindung keluarga?

Kita harus mengakui bahawa ada segelintir individu yang mungkin mempunyai keinginan melampau untuk dipuji, dilihat cantik, dan mendapat perhatian (attention seeking) di media sosial telah mengatasi rasa malu. Apabila seorang wanita berhijab memilih untuk menonjolkan bentuk badan secara ekstrem, mungkin sebenarnya sedang mengalami krisis identiti antara menutup aurat dengan betul dan desakan nafsu.

Namun, wanita tidak berdiri sendirian dalam hal ini. Di belakang seorang isteri, ada seorang suami. Jika isteri berpakaian seperti “nangka dibungkus” sehingga mengundang pandangan liar lelaki lain, mungkin suami boleh masuk campur. Tak mungkin ada suami yang bangga apabila aset isteri menjadi tatapan percuma.

Tanggungjawab Suami: Lebih Daripada Sekadar Nafkah

Tugas seorang suami bukan hanya memastikan kelangsungan hidup secara material. Tanggungjawab paling berat adalah memastikan ahli keluarganya terpelihara daripada fitnah. Suami adalah “pagar” yang melindungi kesucian isteri. Tambah-tambah sekarangni banyak mata-mata liar dengan otak yang tak waras. Kecantikan seorang isteri adalah amanah, bukannya komoditi untuk meraih “likes” atau pujian.

Fenomena Fesyen: Menutup Bukan Membungkus

Menjelang musim perayaan atau majlis keraian, kita melihat baju kurung moden yang dipotong mengikut bentuk badan secara keterlaluan. Ramai yang keliru antara konsep “menutup aurat” dengan “membungkus aurat”. Menutup aurat bermaksud menyembunyikan perhiasan dan bentuk badan agar tidak menimbulkan fitnah. Manakala membungkus aurat pula adalah menutup kulit tetapi membiarkan bentuk tubuh dijamu mata umum.

Seorang suami yang prihatin tidak akan membiarkan isterinya menjadi mangsa fesyen yang menjatuhkan maruah. Teguran suami bukan bermaksud mengongkong, tetapi ia adalah manifestasi kasih sayang yang paling dalam. Suami yang baik adalah suami yang ingin membawa isterinya ke syurga bersama-sama, bukannya suami yang membiarkan isteri melangkah ke jalan yang mengundang murka Tuhan hanya demi kepuasan duniawi yang sementara.

Maruah sebuah keluarga terletak pada sejauh mana kita menjaga batasan yang telah ditetapkan. Suami perlu kembali mengambil peranan sebagai nakhoda yang berani namun berhikmah dalam menegur kesilapan. Janganlah biarkan kecantikan isteri yang sepatutnya menjadi rahsia peribadi, bertukar menjadi fitnah yang boleh menghakis keberkatan rumah tangga. Kembalikanlah sifat malu dan cemburu yang sihat dalam diri, kerana itulah perhiasan iman yang sebenar.

Tulisan ini bukanlah niat untuk mengeji tapi untuk kita semua agar perlahan-lahan membaiki mana yang belum sempurna, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini. Jika kita terlihat situasi sebegini, kita juga tidak mempunyai hak untuk menghukum atau ‘judge’. Lagi bagus kalau kita sama-sama bersihkan hati dan mendoakan yang terbaik, siapa tahu, mungkin suatu hari nanti mereka akan menjadi jauh lebih baik daripada kita.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.