Dengar playlist penuh di sini
.
Ada satu zaman yang bila jam tepat 6 petang, satu rumah automatik jadi senyap. TV dah hidup, saluran dah betul. Drama bersiri Kantonis tengah mula. Tak kira ayah baru balik kerja, mak masih di dapur, anak-anak baru lepas buat kerja sekolah… semua akan cari posisi masing-masing depan TV.
Menariknya, drama Kantonis jam 6 petang ni bukan sekadar hiburan. Dia jadi sebab keluarga berkumpul. Ada rumah yang siap jadikan waktu ni sebagai family time. Duduk sama-sama, tengok cerita sama-sama, komen sama-sama. Hero buat benda pelik, satu rumah gelak. Antagonis muncul, satu rumah mengeluh.
Dan ada satu tabiat unik yang ramai buat tanpa sedar iaitu makan malam awal. Seawal 6 petang tu! Bukan sebab diet, bukan sebab ikut jadual kesihatan. Tapi sebab nak makan sambil layan drama. Kalau lambat sikit, takut terlepas plot penting. Nasi cepat-cepat dihidang, lauk apa yang ada pun tak kisah, janji boleh makan depan TV.
Bila fikir balik, rupanya gaya makan malam awal ni memang dah lama jadi budaya masyarakat Cina, lepas tu baru rehat atau buat aktiviti lain. Kita orang dulu ikut tanpa sedar, semata-mata sebab drama Kantonis.
Kalau sekolah petang..sampai je rumah, letak beg, terus tercongok depan TV. Asal apa yang sempat je walaupun drama dah nak hbais.Kalau terlepas episod, esok di sekolah mesti ada sesi recap wajib. Siapa yang tengok semalam akan jadi pencerita, siap dengan gaya suara watak sekali. Yang tak tengok, dengar penuh khusyuk tak nak ketinggalan cerita.
Kalau episod hari Jumaat pula… itu yang paling menyeksakan. Cerita tergantung, konflik tengah panas, tiba-tiba bersambung hari Isnin. Ada yang sanggup cari rakaman, sewa video, semata-mata tak tahan nak tunggu.
Dan macam drama Korea buat orang sekarang pandai sebut ayat Korea, drama Kantonis dulu buat kita faham Kantonis tanpa belajar. Tak fasih bercakap tapi cukup faham marah, sindir, sedih dan ayat-ayat ikonik. Semua masuk kepala tanpa sedar.
Drama Kantonis jam 6 petang ni sebenarnya lebih daripada cerita di TV. Ia ritual harian, ia waktu keluarga, ia memori satu generasi.
Zaman sekarang mungkin semua tengok ikut skrin sendiri, tapi dulu satu TV, satu cerita, satu rumah.
Dan itu… susah nak diganti.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.