Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengretro_master

Zamina Mina Eh Eh: Lagu Yang Tak Pernah Lapuk Sejak 2010

Bukan lagu rasmi tahun ni, tapi ramai still putar Waka Waka setiap kali Piala Dunia datang. Ini sebab lagu ni tak pernah lapuk.

Setiap empat tahun sekali, ada satu lagu yang selalu kembali walaupun sudah lebih sedekad berlalu. Sebab bagi ramai orang, Piala Dunia 2010 bukan sekadar bola sepak ia kenangan tentang Waka Waka.

Cuba ingat balik Jun dan Julai 2010. Setiap rumah yang ada televisyen, setiap kedai mamak, setiap warung tepi jalan dengan skrin, semua tayang benda yang sama: Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan. Sebelum setiap perlawanan atau di sela-sela siaran, satu lagu yang sama akan berkumandang. Zamina mina, eh eh. Waka waka, eh eh.

Malam Yang Semua Orang Terjaga

Piala Dunia 2010 berlangsung dalam zon waktu Afrika Selatan, bermakna perlawanan utama selalunya bermula lewat malam atau awal pagi waktu Malaysia. Ada yang sanggup berjaga sampai pukul dua, tiga pagi semata-mata untuk perlawanan kegemaran. Ada yang tidur sekejap, pasang penggera, bangun, duduk depan TV dengan mata separuh tertutup.

Dalam suasana itulah Waka Waka nyanyian Shakira jadi lagu paling kerap didengar. Dimainkan dalam promo, iklan, siaran pembukaan dan setiap kali ia berbunyi, rasa teruja itu datang semula walaupun dah didengar berkali-kali. Bunyi dram Afrika yang kuat, suara Shakira yang bertenaga, rentak yang paksa badan bergerak walaupun sekadar duduk depan TV.

Wavin Flag Dan Semangat Yang Berbeza

Seiring dengan Waka Waka, ada Wavin Flag oleh K’naan bukan lagu rasmi FIFA tapi sama kuat dalam kenangan penonton Malaysia. Kalau Waka Waka penuh tenaga dan rancak, Wavin Flag bawa rasa lebih mendalam..harapan, perjuangan, kegembiraan selepas melalui masa sukar.

Bagi yang menonton waktu itu, kedua-dua lagu ini jadi runut bunyi bukan sekadar untuk perlawanan tapi untuk keseluruhan pengalaman dua minggu lebih itu. Malam berjaga, debat siapa akan menang, perbualan pasal pemain terbaik.. semua berlaku dengan lagu-lagu ini sebagai latar.

Apabila Lagunya Diputarkan Semula

Piala Dunia datang setiap empat tahun. Setiap kali ia bermula, ada je orang yang putar semula Waka Waka — bukan kerana ia lagu tahun itu tapi kerana bagi ramai, lagu itulah yang paling kuat bawa mereka kembali kepada rasa Piala Dunia yang sebenar. Rasa berkumpul bersama. Rasa satu dunia tengok benda yang sama. Rasa bahawa bola sepak bukan sekadar permainan tapi sesuatu yang satukan manusia merentasi bahasa dan sempadan.

Zamina mina, eh eh. Ia bukan sekadar lirik. Ia kunci kepada sebuah kenangan.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.