Dengar playlist penuh di sini
.
Dalam dunia digital hari ini ramai mula mempersoalkan sama ada jurulatih masih relevan apabila YouTube sudah menyediakan pelbagai ilmu dan latihan percuma daripada pakar bertaraf dunia. Persoalan ini makin panas bila kisah Julius Yego, atlet lontar lembing dari Kenya, jadi viral. Bayangkan, lelaki ini menang pingat emas peringkat antarabangsa hanya dengan belajar teknik lontar lembing melalui YouTube sebab pada awal kariernya, jurulatih pun tak ada. Internet betul-betul jadi coach sementara.
Penyokong latihan kendiri terus mengangkat Yego sebagai bukti hidup bahawa jurulatih bukan lagi keperluan mutlak. Dengan YouTube atlet boleh menonton teknik terkini daripada pakar dunia, replay video sampai hafal, dan buat jadual latihan ikut suka hati sendiri. Tak perlu tunggu coach, tak perlu ikut jadual orang. Kisah Yego seolah-olah nak beritahu, “kalau ada disiplin, rajin dan WiFi laju, semua boleh jadi.”
Tapi tunggu dulu. Jangan terus buang nombor jurulatih dalam telefon. Kes Yego sememangnya luar biasa, bukan ‘biashe-biashe’ Tidak semua atlet boleh menilai teknik sendiri dengan tepat. Kadang-kadang rasa dah buat betul, tapi sebenarnya siku senget 2 darjah. Silap sikit, bukan prestasi naik, tapi cedera sana sini. Sebenarnya jurulatih bukan setakat mengajar teknik. Mereka menjaga mental, disiplin, motivasi dan kadang-kadang jadi ‘sound system‘ bila atlet mula malas atau buat perangai.
Hakikatnya, masa depan latihan sukan mungkin bukan soal pilih jurulatih atau YouTube tetapi jurulatih DAN YouTube bergabung meletup! Jurulatih zaman sekarang perlu menjadi penapis maklumat, pembimbing strategik, dan orang yang tahu teknik bersesuaian ikut tahap seseorang atlet itu. YouTube pula jadi sumber tambahan, bukan pengganti mutlak.
Kesimpulannya, kisah Julius Yego membuktikan dunia digital memang membuka peluang besar. Tapi jurulatih masih relevan untuk membentuk atlet yang konsisten, tahan mental dan tak mudah hanyut dengan tutorial “5 tip jadi juara dalam seminggu”. Cabaran sebenar hari ini adalah mencari keseimbangan antara ilmu digital dan sentuhan manusia sebab akhirnya, video boleh mengajar teknik tapi manusia melatih menjadi atlet sebenar.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.