Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengspotlite_master

Buruh Kanak-Kanak Versi Moden: Normalisasi Kejam Tanpa Sedar

Apabila dilakukan secara berterusan, berjadual dan disertai tuntutan tertentu, adakah ini masih sekadar aktiviti atau sudah bertukar menjadi satu bentuk kerja?
Wajah baharu buruh kanak-kanak dalam dunia moden

Pada zaman serba moden ini istilah buruh kanak-kanak tidak lagi semestinya merujuk kepada tangan kecil yang bekerja di kilang atau ladang seperti dalam buku sejarah. Hari ini ia boleh muncul dalam wajah yang jauh lebih kemas dan bersih di set penggambaran di hadapan kamera telefon atau dalam rutin harian yang dimuat naik ke media sosial.

Bila keceriaan di kamera bertukar menjadi tuntutan

Kita sering melihat kanak-kanak yang menjadi wajah utama content keluarga. Mereka muncul dalam video ulasan produk, sesi siaran langsung, endorsement atau sekadar rutin harian yang dikongsi tanpa henti. Pada mata kasar semuanya kelihatan ceria, suci dan comel. Bagi sesetengah keluarga ini mungkin sekadar cara berkongsi kehidupan atau menambah rezeki. Namun apabila ia dilakukan secara berterusan, berjadual dan disertai tuntutan tertentu, kita perlu bertanya pada diri dengan jujur, adakah ini masih sekadar aktiviti atau sudah bertukar menjadi satu bentuk kerja?

Antara niat baik ibu bapa dan garis perlindungan anak

Isu ini bukan tentang menyalahkan ibu bapa. Kebanyakan ibu dan ayah hanya mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Namun persoalannya adalah tentang sempadan dan perlindungan. Seorang kanak-kanak belum mampu memahami kesan jangka panjang dunia digital bahawa video itu akan kekal, komen orang dewasa boleh melukakan dan tekanan untuk sentiasa menjadi menarik boleh perlahan-lahan menghakis jiwa mereka. Apabila pendapatan keluarga mula bergantung kepada ekspresi wajah, emosi atau kehidupan peribadi anak, garis antara perkongsian dan eksploitasi boleh menjadi semakin kabur.

Tanda-tanda halus yang tidak wajar kita abaikan

Ada tanda-tanda yang wajar membuat kita berhenti seketika dan berfikir. Jom tengok : Apabila anak kelihatan tidak selesa tetapi tetap diminta meneruskan rakaman. Apabila jadual konten mula mengganggu waktu sekolah, tidur dan rehat. Apabila hal peribadi anak: air mata, marah, malu atau masalah peribadi terbuka luas untuk tontonan umum. Dan yang paling membimbangkan apabila keutamaan terhadap content mengatasi keselamatan serta maruah anak itu sendiri.

Bukan larangan namun soal cara dan batas

Ini tidak bermakna semua penglibatan kanak-kanak dalam dunia hiburan atau media sosial adalah salah. Bezanya terletak pada cara ia dijaga. Masa mesti munasabah, pendidikan perlu diutamakan, privasi dihormati dan kandungan tidak menjatuhkan maruah anak. Yang paling penting anak harus diberi hak untuk berkata “tak nak”. Suara kecil itu mesti dihormati walaupun kita terpaksa melepaskan peluang atau keuntungan.

Peranan orang dewasa dan yang menonton

Sebagai orang dewasa kita boleh bermula dengan soalan yang sangat jujur kepada diri sendiri: “Jika tiada bayaran, hadiah atau views, adakah aku masih sanggup memuat naik kandungan ini?” Penonton juga memegang peranan penting. Jangan terlalu memberi ganjaran kepada content yang jelas menekan atau memanipulasi emosi kanak-kanak.

Anak bukan content, mereka adalah amanah

Rezeki adalah amanah. Anak juga amanah. Apabila kebajikan, maruah dan masa depan anak diletakkan di tempat paling atas, barulah kita benar-benar boleh berkata bahawa kita telah melangkah keluar dari zaman buruh kanak-kanak versi moden meskipun dunia terus berubah.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.