Dengar playlist penuh di sini
.
Dulu, rumah ialah tempat paling selamat di dunia. Balik sekolah terus cari ibu, ayah balik kerja terus je kena ‘terkam’. Meja makan jadi tempat berkongsi cerita walaupun lauknya cuma telur goreng dan kicap. Tapi entah bila bermulanya, rumah hari ini makin sunyi walaupun penuh penghuni.
Ironinya, satu keluarga boleh duduk dalam ruang yang sama tetapi masing-masing tenggelam dalam dunia sendiri. Ayah dengan telefon, ibu dengan WhatsApp keluarga, anak-anak dengan TikTok dan game online. Bukan tak sayang cuma makin jarang benar-benar berbual.

Tekanan hidup zaman sekarang memainkan peranan besar. Kos sara hidup meningkat, kerja makin mencabar, masa makin terhad. Ibu bapa pulang ke rumah dalam keadaan letih, anak pula membesar dengan emosi yang tidak selalu difahami. Akhirnya komunikasi jadi perkara paling terabai dalam keluarga.
Ramai ibu bapa rasa tanggungjawab mereka selesai apabila keperluan asas anak dipenuhi. Makan, pakaian, sekolah..semuanya cukup! Tapi hakikatnya anak juga perlukan masa, perhatian dan telinga yang sudi mendengar. Kadang-kadang anak tak perlukan nasihat panjang, mereka cuma nak seseorang kata, “Tak apa, ayah faham.”
Begitu juga anak-anak. Tidak semua ibu bapa pandai meluahkan kasih sayang. Ada yang kaku, ada yang ego, ada yang sendiri dibesarkan tanpa contoh komunikasi yang sihat. Tapi di sebalik nada suara yang keras, selalunya tersimpan niat yang baik cumanya disampaikan dengan cara yang salah.
Masalah keluarga jarang berpunca daripada kebencian. Selalunya ia datang daripada salah faham yang dibiarkan terlalu lama. Ego menghalang permohonan maaf dan masa pula terus berjalan tanpa menunggu sesiapa.
Hakikatnya rumah bukan tentang saiz atau kemewahan. Rumah ialah perasaan. Ia tentang rasa diterima, difahami dan disayangi. Rumah ialah tempat kita boleh gagal tanpa dihakimi dan berjaya tanpa dicemburui.
Mungkin kita tak boleh ubah segalanya dalam sekelip mata. Tapi kita boleh mulakan dengan perkara kecil seperti makan bersama tanpa telefon, bertanya khabar dengan ikhlas, atau sekadar duduk bersama mendengar cerita ahli keluarga.
Satu hari nanti, bila rumah itu benar-benar sunyi, kita mungkin akan sedar… yang paling mahal dalam hidup bukan harta tetapi masa yang tak sempat diluangkan bersama keluarga.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.