Dengar playlist penuh di sini
.
Pernah tak jadi macam ni? Duduk di kedai makan, makanan baru sampai, perut dah lapar… tiba-tiba hidu asap rokok tebal dari meja sebelah? Selera terus mati. Mata pedih, hidung sesak, hati pula naik menyampah.
Yang buat lagi geram, larangan merokok di premis makanan bukan benda baharu. Dah lama wujud, dah banyak kali diingatkan tapi masih ada juga yang buat tak tahu. Macam peraturan tu wujud untuk orang lain sahaja, bukan untuk diri sendiri.
Lebih rumit, peniaga sering tersepit di tengah. Nak tegur pelanggan, takut naik angin atau terus beredar. Kalau pelanggan lain yang tegur, bimbang pula jadi isu besar sampai bergaduh. Situasi ni bukan setakat panas tetapi memang memeningkan.
Larangan merokok di premis makanan bukan dicipta untuk menyusahkan perokok. Ia wujud atas sebab yang sangat munasabah.
Pertama, soal kesihatan orang ramai. Asap rokok mengandungi lebih 7,000 bahan kimia berbahaya. Yang tak merokok pun terpaksa menyedut sama dan berdepan risiko penyakit jantung, masalah pernafasan dan kanser paru-paru.
Kedua, keselesaan ketika makan. Tak ada siapa yang nak menikmati makanan dalam asap rokok yang baunya melekat di rambut, baju dan tangan. Makan sepatutnya jadi pengalaman yang menyenangkan bukan sesi tahan nafas.
Ketiga, soal undang-undang. Premis makanan memang diklasifikasikan sebagai kawasan bebas asap rokok. Jika gagal patuh bukan pelanggan sahaja yang bermasalah peniaga juga boleh dikenakan denda.
Realitinya masih ada yang anggap larangan ini keterlaluan. Ada yang merokok secara sembunyi, ada yang buat tak endah, ada juga yang siap mencabar bila ditegur.
Peniaga pula sering serba salah. Tegur takut pelanggan merajuk. Halau keluar rasa bersalah. Diam pula salah. Akhirnya peraturan ada tapi pelaksanaan jadi longgar sebab semua orang cuba elak konflik.
Peniaga sebenarnya ada ha, dan hak itu disokong undang-undang.
Pertama, tetapkan peraturan dengan jelas. Papan tanda “Dilarang Merokok” bukan hiasan. Letak di pintu masuk, di dinding malah di meja. Bila peraturan jelas, teguran bukan lagi bersifat peribadi.
Kedua, guna bahasa yang sopan tapi tegas. Tak perlu tinggi suara. Cukup dengan, “Maaf encik/puan, kawasan ini bebas asap rokok. Mohon berhenti atau gunakan kawasan luar.” Jelas, beradab dan berfakta.
Ketiga, jika ada ruang luar, arahkan perokok ke situ. Ini langkah praktikal yang boleh kurangkan ketegangan dan salah faham.
Jika masih berdegil, peniaga berhak menolak servis. Ini bukan kejam, ini melindungi pelanggan lain dan perniagaan sendiri.
Larangan merokok di premis makanan bukan soal suka atau tidak. Ia soal hak orang lain untuk bernafas dengan selesa. Peniaga tak perlu rasa bersalah bila menegur kerana itu sebahagian daripada tanggungjawab mereka.
Untuk pelanggan yang merokok, hormatilah peraturan. Ia bukan merendahkan maruah malah mencerminkan adab dan empati. Jangan tunggu sampai orang lain naik angin atau situasi jadi tegang baru nak faham. Bertolak ansur sekarang jauh lebih baik daripada menyesal kemudian.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.