Komuniti Digital Dewasa
00%

Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengretro_master

Lagu Retro 60-an: Lama Berzaman, Tapi Masih Ada Jiwa

Can't Help Falling in Love oleh Elvis Presley, lagu cinta ini terus menjadi pilihan di majlis perkahwinan sehingga hari ini.

Walaupun sudah lebih enam dekad berlalu, lagu-lagu era 1960-an masih hidup dalam jiwa pendengar hari ini. Ia bukan sekadar tinggal sebagai kenangan generasi lama, malah terus “hit” merentas zaman. Diputar di radio, dijadikan runut bunyi filem, muncul semula di media sosial, dan dinyanyikan oleh generasi muda yang mungkin belum lahir pun ketika lagu-lagu ini dicipta.

Apa rahsianya?

Jawapannya mudah, agu-lagu retro 60-an dicipta dengan jiwa, bukan sekadar mengejar trend.

Ambil contoh Stand by Me oleh Ben E. King. Lagu ini bukan sahaja masih relevan, malah sering digunakan dalam iklan, filem dan acara rasmi. Liriknya ringkas, melodinya sederhana, tetapi emosi yang dibawa kekal kuat. Ia bercakap tentang sokongan, kesetiaan dan rasa selamat, perkara yang manusia perlukan tanpa mengira zaman.

Begitu juga dengan Can’t Help Falling in Love oleh Elvis Presley. Lagu cinta ini terus menjadi pilihan di majlis perkahwinan sehingga hari ini. Tanpa susunan muzik yang kompleks, lagu ini menang kerana kejujuran perasaan. Ia perlahan, tenang dan penuh makna, sesuatu yang semakin jarang ditemui dalam muzik moden yang terlalu sibuk mengejar bunyi.

Era 60-an juga memperkenalkan dunia kepada The Beatles, sebuah kumpulan yang pengaruhnya masih kuat sehingga kini. Lagu seperti Hey Jude bukan sahaja dikenali, malah masih dinyanyikan beramai-ramai di konsert, stadium dan acara besar. Lagu ini membuktikan bahawa muzik tidak perlu rumit untuk menyatukan manusia. Kadang-kadang, hanya melodi dan emosi yang jujur sudah memadai.

Satu lagi contoh klasik ialah Unchained Melody. Lagu ini sering dianggap antara lagu cinta paling menyentuh sepanjang zaman. Setiap kali dimainkan, ia membawa perasaan rindu, kehilangan dan harapan. Lagu sebegini tidak lapuk kerana emosi yang dibawanya bersifat universal , semua orang pernah merasainya, pada satu tahap dalam hidup.

Berbeza dengan sebahagian lagu hari ini yang cepat naik dan cepat tenggelam, lagu-lagu 60-an dibina untuk bertahan. Liriknya tidak terikat dengan slang semasa. Melodinya tidak bergantung kepada teknologi. Ia fokus kepada cerita dan perasaan manusia. Sebab itu, walaupun dunia berubah, lagu-lagu ini masih boleh “masuk” ke dalam jiwa pendengar hari ini.

Ironinya, generasi muda kini kembali mencari lagu-lagu lama. Ada yang menemui melalui filem, ada melalui TikTok, ada kerana ibu bapa mereka sering memutarnya di rumah. Ini membuktikan satu perkara penting, muzik yang ikhlas tidak pernah lapuk dek zaman.

Lagu retro 60-an mengajar kita bahawa untuk kekal relevan, sesuatu karya tidak perlu kejar viral, tak perlu terjerit-jetit. Ia hanya perlu jujur. Dan mungkin itulah sebabnya, walaupun usia lagu-lagu ini sudah berpuluh tahun, degup jiwanya masih terasa hingga hari ini.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.