Dengar playlist penuh di sini
.
Puasa belum pun mula, tapi lagu raya dah berkumandang dengan promosi-promosi persiapan raya di media sosial. Baju raya, kuih raya, langsir raya, semua muncul lebih awal daripada semangat Ramadan yang sepatutnya disambut terlebih dahulu daripada Syawal. Makin lama, makin awal setiap tahun, sampai ada sesetengah orang naik muak dah dengan lagu raya walaupun raya belum tiba. Mana taknya, raya bulan tiga, bulan 12, bulan 1 dah ramai orang guna lagu raya. Lebih menyedihkan, seolah-olah Ramadan hanya jadi “singgahan” untuk orang melayu kita sebelum sampai Syawal.
Hakikatnya, Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga. Ia bulan yang sangat besar nilainya dalam Islam. Dalam Ramadan, al-Quran diturunkan. Pahala amalan digandakan. Satu kebaikan boleh dilipat kali ganda nilainya. Pintu syurga dibuka luas, pintu neraka ditutup, dan syaitan dirantai. Ini bukan bulan biasa-biasa, ini bulan tarbiah jiwa, bulan membina disiplin, empati dan kesabaran.
Namun apa yang berlaku hari ini, orang kita seakan-akan buat Ramadan “kecik hati”. Belum sempat kita menyambut bulan puasa ni dengan persediaan rohani, fokus dah lari kepada Syawal. Kita beria-ia merancang baju raya, rumah raya, meja rayak,sedangkan persiapan hati untuk Ramadan entah ke mana. Sepatutnya, Ramadanlah yang dimeriahkan terlebih dahulu. Bukan dengan hiasan kosong, tetapi dengan pengisian bermakna sepertu tadarus al-Quran, iftar bersama, sedekah, qiamullail, dan memperbaiki hubungan sesama manusia.Dan kalau dilihat di negara-negara arab, persiapan mereka menyambut Ramadan meriah betul, lampu lip lap penuh menghiasa bandar mereka, setiap rumah akan berhias dengan pelbagai hiasan Ramadan. Kalau macam ni, rasa semangat nak beribadah, dan sambut puasa kan. Tak nak cuba macam ni ke?
Lagipun, kegembiraan Syawal itu lebih indah bila ia datang selepas Ramadan yang benar-benar dihayati. Rasa puas, rasa lega, rasa syukur , semua itu hanya wujud bila Ramadan dilalui dengan penuh kesungguhan. Kalau dari awal lagi kita “overdose” dengan raya, bila tiba waktu sebenar, keterujaan dah hilang. Lagu raya yang sepatutnya menyentuh hati jadi bunyi latar yang membosankan. Baju raya yang sepatutnya dinanti jadi sekadar rutin tahunan.
Bayangkan kalau budaya kita diubah sedikit. Ramadan diraikan dengan serius dan indah. Syawal pula take turn, dah nak raya nanti , seminggu lah paling sesuai, sebab kita kan raya sebulan, nak tunggu radio tamatkan siaran lagu raya sampai 30 hari tu, fuhh muak. Hangatkan raya lambat sikit, biar keterujaan datang secara semula jadi. Rasa nak balik kampung, rasa nak bermaaf-maafan, rasa nak meraikan kemenangan, semuanya lebih seronok.

Raya bukan hilang nilainya bila diraikan lewat. Malah, ia jadi lebih manis. Kerana kemenangan itu hanya terasa bila perjuangan sebelum itu benar-benar bermakna. Dan perjuangan itu bernama Ramadan.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.