Dengar playlist penuh di sini
.
Ada satu persoalan yang semakin kerap bermain di fikiran masyarakat hari ini, mengapa ada ibu bapa yang membiarkan anak-anak kecil berpakaian seperti orang dewasa? Bukan soal seksi atau tidak, bukan soal agama semata-mata. Isu yang lebih besar adalah apabila pakaian tidak lagi melambangkan usia, dan kanak-kanak hilang identiti sebagai kanak-kanak.
Budak-budak sepatutnya berpewatakan seperti budak-budak. Ringkas, selesa, sesuai untuk bergerak, bermain dan membesar. Tetapi kini, semakin ramai kanak-kanak dipakaikan dengan gaya yang terlalu matang,potongan, aksesori dan keseluruhan imej yang lebih sesuai untuk orang dewasa. Soalnya, apa yang sedang kita normalisasikan?
Ada ibu bapa yang beri alasan ia sekadar fesyen, sekadar ikut trend, atau sekadar “tak ada apa-apa lah, cantik apa”. Tetapi realitinya, dunia hari ini tidak lagi selamat seperti dulu. Kes melibatkan pemangsa seksual terhadap kanak-kanak semakin meningkat, Dalam situasi sebegini, adakah wajar kita menutup mata dan rasa semuanya baik-baik je?
Isunya bukan menyalahkan mangsa. Kanak-kanak tidak pernah bersalah. Tetapi ibu bapa memikul tanggungjawab besar untuk melindungi, bukan sekadar membesarkan. Apabila anak-anak dipersembahkan dengan imej yang terlalu dewasa, ia membuka ruang persepsi yang salah terhadap mereka. Dunia tidak sentiasa melihat dengan mata yang bersih, dan inilah realiti yang pahit tetapi perlu dihadapi.
Pakaian adalah bahasa visual. Ia menyampaikan mesej tanpa kata-kata. Apabila kanak-kanak berpakaian seperti orang dewasa, garis sempadan usia menjadi kabur. Yang sepatutnya jelas sebagai “ini budak” menjadi samar. Dan dalam dunia yang sudah sedia bermasalah, kekaburan ini sangat berbahaya.
Ada juga ibu bapa yang berbangga apabila anak mereka nampak “pandai bergaya”, “macam model”, atau “macam orang besar”. Tetapi jarang yang bertanya, adakah anak ini benar-benar perlukan imej itu, atau sebenarnya ia memenuhi kepuasan orang dewasa di sekelilingnya? Kanak-kanak tidak perlukan validasi melalui pandangan orang luar. Mereka perlukan keselamatan dan ruang untuk menjadi diri mereka yang sebenar.
Sebagai masyarakat, kita perlu kembali kepada logik asas. Kanak-kanak bukan mini kita. Mereka berada dalam fasa perkembangan emosi, mental dan fizikal yang berbeza. Pakaian yang sesuai dengan usia membantu mereka membina identiti yang sihat, rasa selamat, dan sempadan yang jelas antara dunia kanak-kanak dan dunia orang dewasa.
Ibu bapa juga perlu sedar bahawa melindungi anak bukan bermaksud mengurung mereka, tetapi membuat pilihan yang bijak. Dalam keadaan dunia yang semakin terbuka, ancaman tidak lagi datang dengan wajah menakutkan. Ia datang dalam bentuk senyuman, pujian, dan perhatian yang tidak sepatutnya.
Soalan yang perlu ditanya bukan “boleh atau tidak anak pakai macam ini?”, tetapi “adakah ini benar-benar selamat untuk anak aku?”. Kerana kanak-kanak hanya melalui zaman kanak-kanak sekali. Jangan kita rampas fasa itu, dan jangan kita korbankan keselamatan mereka demi trend yang sementara.
Melindungi anak bukan berlebihan. Ia keperluan. Dan dalam dunia hari ini, kewarasan ibu bapa adalah benteng pertama anak-anak.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.