Komuniti Digital Dewasa

Cari

Dengar playlist penuh di sini

.

logo_gengapasaja_master

Jangan Pernah Rasa Cukup Kalau Nak Life Yang Kita Impikan

Tengok orang lain jalan sana sini, pakai kereta besar, rumah cantik, hidup nampak senang rasa teringin, tapi cuma mampu cakap, “Bestnya hidup dia.”

Ramai orang silap faham bila dengar ayat “jangan pernah rasa cukup”. Terus cop sombong, tamak, tak tahu bersyukur. Padahal maksud sebenar ayat ini bukan suruh kita jadi manusia tamak yang tak reti bersyukur. Maksudnya simple, jangan rasa “cukuplah apa aku ada sekarangni” sampai tak nak berusaha. Jangan rasa hidup hari ini dah “ok” sampai kita tak nak maju langsung ke depan.

Rasa tak cukup yang dimaksudkan di sini adalah rasa keinginan membuak-buak untuk jadi lebih baik. Tak cukup ilmu, maka belajar. Tak cukup duit, maka usaha. Tak cukup skill, maka upgrade diri. Tak cukup peluang, maka cipta peluang. Bukan rasa tak cukup yang buat kita merungut, tapi rasa tak cukup yang buat kita bangun pagi dengan niat untuk bekerja lebih keras daripada semalam.

Bezanya jelas, yang salah sebenarnya jenis yang asyik mengeluh. Tengok orang lain jalan sana sini, pakai kereta besar, rumah cantik, hidup nampak senang rasa teringin , tapi cuma mampu cakap, “Bestnya hidup dia.” Lepas itu tutup telefon, baring, sambung mengeluh. Itu bukan rasa tak cukup. Itu tak bersyukur dan malas berusaha.

Orang yang betul-betul rasa tak cukup tak ada masa nak cemburu dengan kejayaan orang lain. Dia tengok kejayaan orang lain sebagai pencetus nak berusaha lebih lagi, dia tak de masa nak dengki, yang dia tahu cari kerja lebih dan hidup dia sibuk sangat dan penat bekerja. Dia tahu apa yang dia nak dalam hidup, dan dia sedar impian tak jatuh dari langit tanpa usaha. Sebab itu dia kerja lebih, belajar lebih, tahan penat lebih, dan sanggup bermula dari bawah tanpa banyak songeh.

Dan jangan salah faham, rasa tak cukup ini langsung tak bercanggah dengan bersyukur. Malah, orang yang sentiasa berusaha selalunya paling tahu erti syukur. Bila rezeki dia bertambah, dia tak sibuk menunjuk. Cara dia bersyukur ialah berkongsi. Bawa ibu ayah jalan-jalan, belanja makan sedap, tolong adik-beradik, mudahkan hidup orang lain. Dia faham, nikmat sebenar rezeki bukan pada apa yang disimpan, tapi pada siapa yang kita bahagiakan.

Yang perlu kita buang jauh-jauh ialah tabiat memandang rendah diri sendiri. Ayat seperti, “Dia bolehlah, dia pandai,” atau “Dia belajar tinggi,” atau “Dia memang berbakat,” itu semua ayat yang buat kita kekal di tempat sama. Realitinya, kita semua ada kelebihan masing-masing. Dan kalau rasa diri ini biasa-biasa, usaha itu sendiri boleh jadi kelebihan. Rajin belajar, rajin mencuba, rajin jatuh dan bangun semula, itu skill yang ramai orang sebenarnya tak ada.

Hidup ini tak menuntut kita jadi hebat dalam sekelip mata. Tapi hidup sangat kejam pada orang yang memilih untuk duduk diam. Dunia tak beri ganjaran pada orang yang hanya asyik berharap. Dunia hanya buka pintu kepada orang yang berani mengetuk, walaupun tangan lebam, walaupun suara serak. Dan kalau hanya berdoa tapi tak berusaha pon macam mana Allah nak bagi.

Jadi, kalau hari ini awak rasa hidup awak belum seperti yang diimpikan, itu normal. Tapi jangan jadikan rasa itu sebagai alasan untuk berhenti. Jadikan ia pembakar semangat. Jangan pernah rasa cukup untuk berhenti berusaha, tapi sentiasalah bersyukur sepanjang perjalanan. Sebab kejayaan bukan milik orang paling pandai, tapi milik orang yang paling lama bertahan dan paling rajin memperbaiki diri.

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.