Dengar playlist penuh di sini
.
Tak ada istilah “tak pandai masak” dalam dunia hari ini. Istilah itu mungkin relevan 30 atau 40 tahun lepas, tapi bukan sekarang. Zaman ini, resipi ada di hujung jari. Buka TikTok, taip nama menu, dan beratus video step-by-step muncul lengkap dengan sukatan, masa memasak dan cara paling ringkas. Ada yang siap tulis “sesuai untuk beginner” dan “confirm jadi”. Kalau masih kata tak pandai, jujurnya ia bukan lagi soal kemampuan, tapi soal kemahuan atau malas jelah.
Memasak hari ini bukan kemahiran eksklusif atau sesuatu yang menakutkan. Tak perlu masuk sekolah kulinari, tak perlu hafal teknik rumit. Cukup tahu asas, berani cuba dan sanggup belajar dari kesilapan. Masakan terlebih masin boleh dibaiki, nasi lembik boleh jadi bubur, ayam hangus boleh jadi pengajaran. Semua orang yang pandai masak hari ini pun bermula dari dapur yang sama , dapur orang yang “tak pandai masak”.
Lelaki dan perempuan semua tak terkecuali. Memasak bukan tugas jantina, tetapi kemahiran hidup. Tak semestinya semua orang perlu pandai masak banyak jenis lauk atau hidangan kompleks. Tahu memasak sudah memadai, tak perlu pandai.Tahu masak nasi, tahu goreng telur, tahu tumis sayur, tahu sediakan makanan asas bila lapar. Itu sudah cukup untuk hidup berdikari tanpa bergantung sepenuhnya pada orang lain.
Memang betul, makanan boleh dibeli. Restoran ada, gerai ada, delivery pun sentiasa tersedia. Tapi realitinya sekarang, kos makanan dan penghantaran semakin mahal. Satu hidangan ringkas boleh jadi dua atau tiga kali ganda dari kos masak sendiri. Itu belum masuk isu makanan sampai sejuk, rasa tak seperti yang diharapkan, atau menunggu lama bila lapar. Kalau sesekali tak apa, tapi kalau setiap hari, dompet yang akan menjerit dulu.
Selain soal kos, memasak sendiri juga soal kepercayaan. Air tangan sendiri lebih diyakini. Kita tahu apa yang masuk ke dalam makanan, berapa liter minyak, berapa banyak garam, tahap kebersihan dan kualiti bahan. Kita juga boleh kawal pemakanan sendiri, lebih sihat dan lebih sesuai dengan keperluan tubuh. Makanan mungkin ringkas, tapi ia dimasak dengan kesedaran dan tanggungjawab terhadap diri sendiri.
Bagi yang bekerja, memasak juga tidak perlu rumit. Banyak menu ringkas yang boleh disiapkan dalam 15 hingga 30 minit. Meal prep hujung minggu, simpan dalam peti sejuk, dan panaskan bila perlu. Ini bukan soal rajin atau malas, tetapi soal pengurusan hidup. Dalam dunia yang serba mahal dan pantas, kemahiran kecil seperti memasak boleh beri kesan besar kepada kewangan dan kesihatan.
Kesimpulannya, memasak hari ini bukan soal pandai atau tidak, tetapi soal nak atau tak nak. Semua orang mampu belajar jika diberi peluang dan usaha. Tak perlu jadi hebat, tak perlu sempurna. Cukup tahu memasak untuk diri sendiri dan orang sekeliling. All the best!

Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tidak tepat atau memerlukan pembetulan, sila maklumkan kepada kami di hello@thegeng.my.